
Kota Kinabalu: Ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner bahawa dirinya tidak pernah menghalang anaknya daripada menghubungi atau berjumpa bapanya Mahathir Mohd Hashim.
Noraidah Lamat, 46, berkata ketika Zara tinggal bersamanya, anaknya itu sentiasa berhubung dengan Mahathir menerusi panggilan telefon dan WhatsApp.
Katanya ketika berusia kira-kira enam tahun pada 2018, Zara sudah mampu merakam pesanan suara dan menghantar mesej WhatsApp kepada bapanya sendiri.
Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2021, Noraidah memberikan Zara sebuah telefon bimbit bagi memudahkan Mahathir menghubungi anaknya pada bila-bila masa.
“Zara kerap menghubungi Mahathir untuk berbincang mengenai pelajaran dan perkara lain yang ingin dikongsikannya.
“Berdasarkan apa yang saya dengar dan ketahui, Mahathir melayan Zara dengan baik,” katanya ketika membacakan pernyataan saksinya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Noraidah berkata kali terakhir Zara bertemu bapanya secara bersemuka sebelum kejadian ialah pada Oktober 2019 ketika anaknya itu berada di Tahun Satu dan berusia tujuh tahun.
Selepas itu katanya Zara dan Mahathir terus berhubung menerusi WhatsApp.
“Saya tidak pernah menghalang Zara daripada menghubungi atau berjumpa bapanya,” katanya.
Menurut Noraidah, Zara sudah terbiasa dengan bapanya yang bekerja di luar Sipitang dan tidak pernah mempersoalkan ketiadaan Mahathir di rumah kerana keadaan itu sudah menjadi kebiasaan sejak kecil.
Katanya Zara juga tidak pernah mengadu atau menyatakan rasa tidak puas hati terhadap bapanya.
Zara turut mempunyai hubungan baik dengan datuk dan nenek sebelah bapanya yang sering mengunjungi serta mengajaknya ke rumah mereka di Sipitang.





