
Kota Kinabalu: Noraidah Lamat memberitahu Mahkamah Koroner pada Rabu bahawa dirinya amat menyayangi anaknya Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang merupakan anak tunggal dan harapannya.
Noraidah, saksi ke-82 dalam prosiding itu berkata dia dan Zara sangat rapat serta sentiasa bersama kecuali ketika anaknya berada di sekolah atau ketika beliau menghadiri kursus yang tidak membenarkan membawa anak.
“Zara dan saya sangat rapat. Saya sangat menyayanginya kerana Zara adalah anak tunggal dan harapan saya,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Ketika menjawab soalan peguam Shahlan Jufri, Noraidah berkata selepas Zara dilahirkan, dirinya sendiri menguruskan segala keperluan anaknya kerana bapa Zara bekerja jauh dari rumah.
Katanya setiap kali Zara sakit, dia akan mengambil cuti dan kadangkala membawa anaknya ke tempat kerja kerana tiada ahli keluarga mentua yang menawarkan diri untuk membantu menjaganya.
Menurut Noraidah apabila dirinya menghadiri kursus yang tidak membenarkan Zara dibawa bersama, dia akan menghantar anaknya kepada sepupu yang dipercayai.
Noraidah turut mempunyai seorang pembantu yang membantu menjaga Zara.
Noraidah berkata Zara merupakan seorang yang banyak bercakap dan sejak kecil sering berkongsi cerita dengannya mengenai sekolah, pertandingan, rakan, guru serta guru agama.
Katanya setiap kali menghadapi masalah, Zara biasanya akan meluahkan perasaannya kepada Noraidah sebelum dirinya memberikan kata-kata semangat dan motivasi.
Noraidah berkata Zara turut menunjukkan kasih sayang kepadanya dengan bergurau, memeluk dan menciumnya selain kerap membuat kad untuknya termasuk kad hari lahir dan kad yang tertera tulisan “Zara sayang mama”.
Katanya dia juga menunjukkan kasih sayang dan keprihatinan kepada Zara dengan mendukung anaknya sehingga Tahun Empat.
“Apabila Zara berusia 10 tahun, dia tidak lagi mahu didukung tetapi masih suka dipeluk dan dicium,” katanya.
Noraidah berkata ketika Zara berusia lima tahun, mereka mencipta ungkapan “Sayang Cinta Rindu, Muahh I Love You” yang akan mereka ucapkan setiap kali beliau menghantar Zara ke sekolah.
Katanya ungkapan itu terus digunakan sehingga Zara memasuki sekolah menengah termasuk ketika mereka bercakap melalui telefon.
Noraidah berkata seperti ibu dan anak lain, dirinya kadangkala menegur atau memarahi Zara apabila anaknya melakukan kesalahan dengan tujuan mendidik dan mendisiplinkannya, bukan untuk menyakitinya.
“Setakat yang saya ingat, apabila Zara merajuk, biasanya selepas itu dia akan berdiam diri dan kerap menulis dalam bukunya. Bagaimanapun Zara tidak merajuk lama.
“Dia akan bercakap semula dengan saya seperti tiada apa-apa berlaku,” katanya.
Noraidah berkata sepanjang membesarkan Zara, anaknya sering meluahkan perasaan melalui pelbagai aktiviti seperti merakam video, bergurau, membaca pantun dua kerat, melukis, mewarna, menghasilkan kraftangan, menyanyi, bermain dengan permainan serta meluangkan masa bersama haiwan peliharaan seperti kucing, ikan dan kura-kura.
“Apabila Zara gembira, dia akan bercerita, menyanyi, menulis, mengambil gambar, merakam video dan bergurau.
“Apabila sedih, dia akan berdiam diri seketika sambil menulis dalam buku dan apabila menghadapi masalah, dia biasanya akan meluahkan kepada saya.
“Saya akan memberikan kata-kata semangat dan motivasi kepada dirinya,” katanya.
Noraidah berkata Zara yang dikenalinya merupakan seorang anak yang ceria, berani dan petah bercakap, suka bercerita, penyayang terhadap keluarga dan haiwan peliharaan, aktif di sekolah, mempunyai cita-cita serta ramai kawan.
“Sebelum kejadian, Zara tidak pernah menunjukkan sebarang tanda tekanan. Walaupun terdapat beberapa kejadian ejekan dan buli di asrama, setiap kali saya menasihatinya dan memberikan kata-kata motivasi, Zara akan kembali bersemangat,” katanya.






