
Kota Kinabalu: Inkues kematian Zara Qairina Mahathir, 13, selesai selepas 96 hari prosiding, lebih setahun selepas ia bermula dengan Mahkamah Koroner kini beralih ke peringkat seterusnya iaitu penghujahan.
Koroner Amir Shah Amir Hassan menetapkan jam 9 pagi Jumaat untuk arahan lanjut berhubung penghujahan selepas saksi terakhir, pegawai penyiasat Inspektor Wong Yew Zhung, selesai memberikan keterangan pada Rabu.
Amir berkata mahkamah telah selesai mendengar keterangan kesemua 83 saksi dalam inkues yang bermula pada 3 September 2025 bagi menentukan punca dan keadaan kematian Zara.
“Dengan itu saya percaya kita telah selesai mendengar keterangan semua saksi dalam inkues ini.
“Saya meminta penghujahan yang mendalam daripada pihak-pihak terlibat,” katanya.
Mahkamah dimaklumkan bahawa tiada lagi saksi akan dipanggil pada Jumaat sebaliknya prosiding akan beralih kepada arahan berhubung penghujahan.
Amir turut berkata alasan penghakiman akan disampaikan dalam Bahasa Malaysia bagi memudahkan orang ramai memahami dapatan mahkamah.
Sepanjang inkues itu mahkamah mendengar keterangan daripada 83 saksi termasuk pakar perubatan, pakar forensik, guru, pelajar, pegawai polis dan ahli keluarga Zara, bagi meneliti keadaan yang menyelubungi kematiannya.
Inkues berkenaan diadakan untuk menentukan bagaimana Zara meninggal dunia serta keadaan yang membawa kepada kejadian itu termasuk sama ada terdapat unsur jenayah.
Zara ditemukan tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya di Papar kira-kira jam 4 pagi pada 16 Julai 2025. Dia meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada keesokan harinya.
Mayatnya digali semula pada 9 Ogos 2025 dan bedah siasat dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik HQE pada 10 Ogos 2025.
Pada 20 Ogos 2025, lima remaja yang dikenal pasti menggunakan nama samaran Pelajar A, B, C, D dan E didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak atas pertuduhan menghina Zara. Kesemua mereka mengaku tidak bersalah.
Dengan selesainya keterangan semua saksi, inkues itu kini memasuki peringkat penting dengan prosiding seterusnya dijangka tertumpu kepada penghujahan sebelum koroner menyampaikan dapatan berhubung kematian Zara.
Antara pasukan yang terlibat dalam inkues itu ialah pasukan pegawai pengendali yang diketuai bekas Pengarah Pendakwaan Sabah, Nahra Dollah yang kini Pengarah Pendakwaan Melaka, bersama Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohd Fairuz Johari, TPR Dana Arabi Wazani, TPR Sofia S Sawayan dan TPR Dacia Jane Romanus.
Ibu Zara, Noraidah Lamat diwakili barisan peguam Shahlan Jufri, Datuk Rizwandean Bukhary M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi Md Zain, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Farrah Nasser dan Elhanan James.
Bapa Zara, Mahathir Mohd Hashim pula diwakili peguam Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip dan Clarice Vyone Conrad.
Pelajar A diwakili peguam Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan.
Sementara itu Pelajar B, C, D dan E diwakili peguam Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Mohammed Fareez Mohammed Salleh dan Sylvester Kuan.
Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) dan Kementerian Pendidikan Malaysia turut dibenarkan memerhati prosiding berkenaan sebagai pihak pemerhati.






