sarah12/10/2026 - 09:36 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Okt -- Belanjawan 2027 dijangka memberi kesan positif kepada sektor hartanah menerusi pelbagai insentif pemilikan rumah dan langkah meningkatkan pendapatan boleh guna isi rumah, sekali gus berpotensi mengimbangi kesan kenaikan kadar faedah pinjaman perumahan.
RHB Research berkata, insentif khusus sektor hartanah yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 secara keseluruhannya menepati jangkaan firma penyelidikan itu, termasuk pelaksanaan projek perumahan mampu milik serta lanjutan pengecualian duti setem bagi pembeli rumah pertama.
Menurutnya, langkah berkenaan dijangka memberi manfaat kepada kebanyakan pemaju hartanah, khususnya syarikat yang menawarkan rumah pada harga pertengahan dan mampu milik.
Pengecualian duti setem dilanjutkan hingga 2030
RHB Research berkata, antara insentif paling signifikan ialah lanjutan pengecualian duti setem ke atas perjanjian pinjaman dan surat cara pindah milik bagi pembeli rumah pertama untuk hartanah kediaman berharga sehingga RM500,000.
Bagi rumah berharga sehingga RM750,000, pengecualian penuh diberikan untuk RM500,000 pertama, manakala baki harga rumah menikmati pengecualian duti setem sebanyak 50%.
Insentif itu terpakai bagi perjanjian jual beli yang ditandatangani antara 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2030.
Firma penyelidikan itu menyambut baik lanjutan berkenaan memandangkan kemudahan tersebut sebelum ini hanya diberikan sehingga 31 Disember 2027.
Langkah itu dijangka membantu mengurangkan bayaran pendahuluan pembeli rumah, sekali gus menyokong permintaan hartanah.
Dalam perkembangan berkaitan perumahan awam, projek Bandar Madani Bukit Jalil turut diumumkan, dengan pendaftaran Fasa 1 bermula pada 12 Oktober.
Projek itu dilaporkan merangkumi 17,000 unit rumah mampu milik di atas tanah kerajaan seluas 26.26 hektar, bertentangan dengan Pavilion Bukit Jalil.
Peluang hartanah Johor kekal menarik
RHB Research berkata, pelancaran pelan induk dan rangka tindakan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dijadualkan pada Disember berpotensi memperkukuh kedudukan zon berkenaan sebagai destinasi pelaburan serantau utama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, dijangka melancarkan pelan induk itu semasa Pemukiman Pemimpin Singapura-Malaysia tahunan.
Pelancaran berkenaan dijangka menyaksikan pengumuman 12 inisiatif baharu, selain sokongan dasar bukan fiskal bagi merancakkan aktiviti pelaburan di JS-SEZ.
Sementara itu, operasi awam projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link yang dinanti-nantikan dijangka ditangguhkan selama satu hingga dua bulan kepada Februari 2027.
Projek infrastruktur rentas sempadan itu perlu menjalani penilaian akhir oleh perunding keselamatan bebas serta mendapatkan kelulusan teknikal daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat Malaysia dan Penguasa Pengangkutan Darat Singapura.
Insentif Belanjawan dijangka imbangi tekanan kadar faedah
Sektor hartanah kebelakangan ini terjejas sebahagiannya oleh peningkatan hasil bon yang mencerminkan jangkaan persekitaran kadar faedah lebih tinggi, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan kelembapan permintaan hartanah.
Bagaimanapun, RHB Research berpandangan kenaikan kadar faedah secara beransur-ansur dari segi sejarah tidak semestinya memberi kesan ketara kepada pasaran hartanah, berbeza dengan kenaikan mendadak.
Firma itu menyifatkan insentif Belanjawan 2027 sebagai tepat pada masanya, selain bantuan tunai yang lazim diberikan, beberapa langkah lain dijangka menyokong sentimen pengguna.
Antaranya ialah kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 berkuat kuasa Jun 2027, peningkatan had pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000, pengurangan kadar cukai sebanyak satu mata peratusan bagi kelompok pendapatan bercukai terpilih serta peluasan beberapa kategori pelepasan cukai.
Secara keseluruhan, langkah itu dijangka meningkatkan pendapatan boleh guna, khususnya dalam kalangan golongan berpendapatan sederhana, sekali gus membantu mengimbangi kemungkinan kesan kenaikan kadar faedah pinjaman perumahan sekiranya bank pusat menaikkan kadar penanda aras.
Kenaikan gaji minimum tidak jejas kos pembinaan secara ketara
Dalam perkembangan berasingan, RHB Research tidak menjangkakan kenaikan gaji minimum memberi kesan material kepada kos pembinaan.
Menurut penganalisis sektor pembinaannya, Adam bin Mohamed Rahim, data Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menunjukkan pekerja am bagi kerja kejuruteraan awam di Selangor, Johor dan Pulau Pinang sudah menerima gaji bulanan sekitar RM2,400.
Sementara itu, gaji bulanan pekerja mahir kini berada pada sekitar RM3,100, melebihi kadar gaji minimum baharu yang dicadangkan.
Jualan hartanah separuh pertama kekal memberangsangkan
Jumlah jualan hartanah keseluruhan meningkat 2.7% suku ke suku dan 32% tahun ke tahun pada suku kedua 2026.
RHB Research menjelaskanpermintaan hartanah menunjukkan sedikit penyederhanaan, khususnya dalam segmen pasaran massa, manakala hartanah perindustrian, kediaman mewah dan produk pelaburan komersial terus mencatat permintaan kukuh.- DagangNews.com






