
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Insiden melibatkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dengan dua orang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) masih hangat lagi diperkatakan sehingga kini.
Baca Artikel Berkaitan: Tular Video Marah Individu Di KLIA, KP AKPS Akan Keluar Kenyataan Media Dalam Masa Terdekat
2 Anggota Kemuka Saman Sivil Kepada Mohd Shuhaily, Namakan Beliau Sebagai Defendan Tunggal
Terbaharu, dua anggota PDRM yang didakwa dikasari telah mengemukakan saman sivil terhadap Mohd Shuhaily.
Jelas peguam yang mewakili dua anggota polis terbabit, Kamal Hisham Jaafar, saman itu difailkan di Mahkamah Sesyen Sepang Selangor semalam (4 November).
Tambahnya, menerusi tindakan undang-undang, dua anggota polis dari Cawangan Khas itu telah menamakan Mohd Shuhaily sebagai defendan tunggal dan tidak melibatkan Kerajaan Malaysia.
“Hal ini adalah dengan mengambil kira bahawa kejadian kekasaran tersebut adalah semata-mata suatu perbuatan Datuk Shuhaily atas kapasiti dirinya sendiri tanpa melibatkan pihak kerajaan Malaysia,” katanya.
2 Anggota Polis Kemuka 4 Klausa Terhadap Defendan
Dalam tuntutan berkenaan, dua anggota polis sebagai plaintif telah mengemukakan empat klausa terhadap Shuhaily iaitu:
- Tort penahanan salah
- Tort serangan
- Tort bateri
- Tort fitnah
Jelas Kamal Hisham, kedua-dua plaintif percaya bahawa tindakan undang-undang adalah forum yang tepat untuk mendapatkan keadilan.
Memetik Berita Harian, mereka turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan kerana menyatakan pendirian jelas serta tegas terhadap kes berkenaan di mana semua pihak tertakluk di bawah undang-undang sedia ada.
Peguam Sebelum Ini Beri Bayangan 2 Anggota PDRM Akan Fail Saman Sivil
Pada 22 Oktober lalu, Kamal Hisham memberi bayangan bahawa dua anggota terbabit akan memfailkan saman sivil terhadap Mohd Shuhaily tanpa melibatkan kerajaan.
Jelasnya pada ketika itu, draf saman sedang dimuktamadkan sebelum difailkan di mahkamah dalam masa tujuh hari.
Terdahulu, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis pada 28 September lalu di KLIA.
Berdasarkan kedua-dua pertuduhan tersebut, Mohd Shuhaily didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap Mohamad Faiz Saman dan Muhammad Ekmal Sofwan Dirman.
Kesalahan itu didakwa dilakukan Mohd Shuhaily di Kaunter J, Aras 5, Terminal 1, KLIA antara pukul 1.27 tengah hari hingga 1.35 tengah hari.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan Mohd Shuhaily diikat jamin RM1,500 bagi setiap pertuduhan.
Baca Artikel Berkaitan: Kes Shuhaily: 2 Anggota Polis Kemuka Laporan Tambahan, Nafi Dakwaan Kos Guaman Dibiayai Sindiket – Peguam
Baca Artikel Berkaitan: Anggota Cawangan Khas PDRM Nafi Jadi ‘Ulat’, Dakwa Dikasari Ketika Jalankan Tugas Rasmi Di KLIA – Peguam






