“Saya Ada Anak Kecil, Dia Sudah Takut” – Pemandu Ferrari Dipukul Di PLUS Tampil Cerita Kejadian Sebenar

LocalCars
9 Aug 2026 • 3:51 PM MYT
Oh! Media
Oh! Media

Made in Malaysia by Malaysian.

Tular di media sosial kekecohan di Kilometer 276 Lebuhraya PLUS menghala Seremban membabitkan seorang pemandu Perodua Aruz dan pemandu Ferrari.

Dalam video itu, pemandu Perodua Aruz didakwa bertindak agresif dengan memukul mangsa selepas berlaku salah faham di atas jalan raya.

Pemandu Ferrari jelaskan apa yang berlaku

Selain pukul, suspek didakwa mengeluarkan kata-kata berunsur ugutan jenayah. Polis menerima laporan mengenai kejadian pemandu Ferrari kira-kira jam 6.40 petang.

Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Memetik laporan Berita Harian, pemandu Ferrari bernama Tiang How Soon tampil memberi penjelasan mengenai apa yang berlaku.

Image from: “Saya Ada Anak Kecil, Dia Sudah Takut” – Pemandu Ferrari Dipukul Di PLUS Tampil Cerita Kejadian Sebenar

Ahli perniagaan itu berkata, dia tidak berniat untuk mencetuskan kekecohan dan mendakwa tiada sebarang pelanggaran berlaku antara kedua-dua kenderaan.

Menurutnya, kejadian tersebut sepatutnya boleh diselesaikan dengan baik tanpa perlu melibatkan kekerasan fizikal.

How Soon turut meluahkan rasa terkilan kerana insiden itu bukan sahaja menakutkan anak kecilnya yang berusia empat tahun, malah dia percaya anak penyerang yang turut berada dalam kenderaan Perodua Aruz juga mungkin trauma melihat kejadian tersebut.

Sepatutnya dia boleh berbincang dengan saya. Kalau kes kecil macam ini dia pukul orang sampai mahu masuk penjara berbaloi kah? Kasihan pada keluarga dia nanti. Sebagai seorang bapa, orang yang ada keluarga jadi saya pun tak mahu keluarga dia bermasalah nanti.

Lelaki ini bagaimana pun enggan memberi banyak komen dan menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak berkuasa.

Tukar lorong untuk elak kemalangan, tiada perlanggaran berlaku

Image from: “Saya Ada Anak Kecil, Dia Sudah Takut” – Pemandu Ferrari Dipukul Di PLUS Tampil Cerita Kejadian Sebenar

Menurut How Soon, ketika kejadian dia dalam perjalanan ke Melaka bersama isteri dan anaknya. Dia yang mengikuti konvoi kereta ketinggalan di belakang selepas keluar dari stesen minyak.

Dia hanya memandu pada kelajuan kira-kira 120 kilometer sejam, tetapi terpaksa menukar laluan dari kanan ke kiri selepas sebuah kenderaan di hadapan berhenti secara mengejut.

Saya tengok cermin sisi saya nampak Aruz itu ada jarak lebih kurang dua ke tiga kereta lagi. Jadi saya berhenti di lorong tengah dan kereta dia sampai, tak ada kemalangan pun tetapi dia marah-marah, dia jerit dekat bahagian penumpang saya.

Menurut How Soon, keputusan tukar lorong dibuat kerana dia bimbang tidak sempat membrek dan melanggar kenderaan di hadapan.

Saya cuba brek tetapi saya risau tidak sempat berhenti dan melanggar kereta depan, jadi untuk elak kemalangan lagi besar sebab itu saya tukar lorong. Saya cuba jelaskan ada kereta berhenti secara cemas sebab itu saya elak tetapi dia terus marah. Dia marah dan mencarut, saya minta dia jangan begitu kerana saya ada anak kecil, dia sudah takut. Jadi saya turun dari kereta dan ketika itu ada beberapa orang lain yang cuba bantu tetapi tiba-tiba dia pukul saya. Dia sepak saya, dia tumbuk muka saya.

Dia memilih untuk tampil menjelaskan perkara sebenar selepas video kejadian itu menimbulkan pelbagai persepsi negatif terhadap dirinya dan komuniti penggemar kereta.

Dia juga menafikan dakwaan konvoi kereta sedang berlumba atau memandu secara melulu. Sebaliknya, dia mendakwa tindakannya menukar lorong ketika itu dibuat bagi mengelakkan kemalangan yang lebih besar.

The post “Saya Ada Anak Kecil, Dia Sudah Takut” – Pemandu Ferrari Dipukul Di PLUS Tampil Cerita Kejadian Sebenar appeared first on Oh! Media.
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved