
NILAI - Polis sedang mengesan pemandu Perodua Aruz yang disyaki menyerang seorang pemandu Ferrari dalam satu pergaduhan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Nilai, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 6.40 petang Sabtu daripada salah seorang pemandu yang terbabit.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi di Kilometer 276 Lebuhraya PLUS menghala ke Seremban.
“Kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham berkaitan pemanduan antara dua lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an.
“Dalam kejadian itu, suspek dipercayai menyerang mangsa sehingga menyebabkan mangsa terjatuh selain mengeluarkan kata-kata berunsur ugutan jenayah terhadap mangsa.
“Kejadian kemudiannya dileraikan oleh orang awam,” katanya.
Johari berkata polis telah mengenal pasti suspek dan kenderaan yang terbabit, manakala usaha sedang dijalankan bagi mengesan lelaki berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya membantu siasatan dengan menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai atau mana-mana balai polis berhampiran.
Dalam pada itu, Johari menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.
Sebelum ini, satu video yang tular di media sosial memaparkan sebuah Ferrari dan Perodua Aruz berhenti di lorong paling kanan lebuh raya berkenaan.
Rakaman itu turut menunjukkan dua individu yang dipercayai pemandu kedua-dua kenderaan terbabit bergelut dan saling memukul sebelum salah seorang daripada mereka terjatuh.
Pergaduhan berkenaan kemudiannya dileraikan oleh orang awam. - Getaran, 9 Ogos 2026





