PASIR GUDANG – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor melakukan pemantauan di dua kawasan sensitif membabitkan dua buah sekolah.
Pengarah JAS Johor, Dr Mohd Famey Yusoff berkata, dua buah sekolah terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Pasir Putih dan SMK Pasir Gudang 3.
Menurutnya, bacaan kualiti udara yang direkodkan setakat ini tidak menunjukkan sebarang bacaan luar biasa.
"Susulan kejadian pelepasan gas berwarna oren, pihak JAS Johor membuat pemantauan kualiti udara di dua lokasi yang dikenalpasti sebagai sebagai kawasan sensitif receptor iaitu di SMK Tmn Pasir Putih dan SMK Pasir Gudang 3.
"Setakat ini, bacaan kualiti udara di kawasan tersebut tidak menunjukkan sebarang bacaan yang luar biasa," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, kes berkenaan masih dalam siasatan dan setakat ini tiada sebarang laporan mengenai sebarang kejadian tidak diingini berlaku terhadap orang awam.
Terdahulu, satu unit tangki mengandungi bahan kimia dalam kilang di Jalan Keluli, Kawasan Perindustrian Pasir Gudang, di sini, dikesan mengalami kebocoran pada Khamis.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan 1 Faisal Ismail berkata pihaknya, menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 11.59 pagi.
Tambahnya lagi, operasi masih dijalankan dan sudah membuat permohonan unit Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) untuk membantu di lokasi.
Gambar dan video tular di Threads mengenai asap berwarna oren di kawasan Perindustrian Pasir Gudang yang mencetuskan kebimbangan ramai mengenai kualiti udara di kawasan tersebut.





