
Kenderaan yang memasuki Thailand juga biasanya berbaris hampir satu kilometer dengan jumlah pergerakan keluar masuk mencecah 5,000 orang setiap kali cuti umum atau hujung minggu.
PASIR MAS: Pergerakan keluar masuk di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang di sini menurun selepas kejadian letupan bom, tembakan dan pembakaran bangunan di tiga wilayah selatan Thailand pada Sabtu lepas.
Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Rantau Panjang Siti Khadijah Hamzah berkata sebanyak 3,298 pergerakan masuk ke Malaysia direkodkan dari Sabtu hingga Isnin berbanding 2,969 pergerakan keluar.
READ MORE: RM700,000 gone in 21 days: A wake-up call for retirement planning
READ MORE: MyKad printing services nationwide to face temporary disruption from Aug 26-31
Beliau berkata jumlah pergerakan masuk pada Sabtu ialah 2,068 sebelum menurun kepada 1,230 pada Ahad dan Isnin.
“Pergerakan keluar pula sebanyak 1,696 pada Sabtu dan menurun kepada 1,273 pada Ahad dan Isnin,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Siti Khadijah berkata penurunan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan keganasan yang berlaku di 51 lokasi di wilayah Narathiwat, Pattani dan Yala secara serentak pada Sabtu lepas.
Sementara itu, tinjauan Bernama di ICQS Rantau Panjang mendapati keadaan lengang tanpa kesesakan kenderaan seperti kebiasaannya, termasuk ketika cuti umum.
Kenderaan yang memasuki Thailand juga biasanya berbaris hampir satu kilometer dengan jumlah pergerakan keluar masuk mencecah 5,000 orang setiap kali cuti umum atau hujung minggu.
Keadaan itu dipercayai menyebabkan sebahagian rakyat Malaysia menangguhkan perjalanan ke selatan Thailand bagi tujuan pelancongan, membeli-belah dan kunjungan keluarga.
Sebelum ini, wilayah Narathiwat dikenakan perintah berkurung bermula 10.15 malam hingga 5 pagi selepas lebih 50 insiden termasuk pengeboman, pembakaran pejabat kerajaan tempatan dan pembakaran tayar dilaporkan berlaku di tiga wilayah berkenaan.
Letupan kuat dari arah Narathiwat, selatan Thailand itu turut menggegarkan kediaman dan menimbulkan kebimbangan kepada penduduk di sempadan Malaysia-Thailand, termasuk Kampung Lubok Gong dan Kampung Tersang, Rantau Panjang di Pasir Mas, Kelantan.





