Insiden Motegi jadi pengajaran

8 Oct 2026 • 9:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Insiden Motegi jadi pengajaran

PELUMBA Moto3 negara, Hakim Danish Ramli enggan lagi menoleh ke belakang susulan siri kemalangan di Grand Prix (GP) Jepun, sebaliknya bertekad bangkit melakar keputusan positif pada GP Indonesia di hujung minggu ini.

Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu menyifatkan tiga insiden kemalangan yang menimpanya di Motegi minggu lalu sebagai pengajaran berguna untuk memburu keputusan lebih positif di Mandalika.

Hakim Danish yang menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-12 di Jepun itu ketika ini berdepan cabaran tersendiri apabila berlumba dengan masa untuk pulih sepenuhnya daripada kecederaan bahu sebelum sesi latihan bebas pertama bermula pada Jumaat ini.

Kelebihan buat Hakim Danish, Mandalika bukanlah litar asing baginya kerana pernah turun bersaing pada perlumbaan Asia Talent Cup (ATC) kira-kira empat tahun lalu sekali gus mahu kembali bersaing bersama kelompok hadapan.

“Saya mahu melupakan sepenuhnya episod di Motegi. Apa yang berlaku sudah berlalu dan ia menjadi pengajaran berguna untuk saya terus melangkah ke hadapan.

“Saya pernah berlumba di sini sewaktu saingan ATC, jadi saya sudah faham serba sedikit karakter litarnya. Fokus saya kini adalah meningkatkan kelajuan di bahagian teknikal, terutamanya di sektor pertama dan terakhir.

“Bagi kecederaan bahu, saya berharap dapat pulih sepenuhnya menerusi rawatan fisioterapi. Saya bersemangat untuk kembali beraksi dan mahu menghadiahkan keputusan membanggakan buat pasukan serta peminat tanah air,” katanya.

Pelumba kelahiran Terengganu itu kini berada di kedudukan ketujuh Moto3 selepas mengumpul 105 mata dan berkongsi mata sama dengan pencabar terdekat dari Indonesia, Veda Ega Pratama dalam perebutan gelaran Rookie of the Year.

The post Insiden Motegi jadi pengajaran appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved