sarah15/10/2026 - 12:08 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR, 15 Okt - CTOS Digital Bhd (CTOS) dijangka mengalami penyusutan hasil sebanyak RM16 juta susulan insiden keselamatan siber yang menjejaskan perkhidmatannya, dengan pemulihan keyakinan pelanggan dilihat sebagai cabaran lebih besar berbanding usaha mengembalikan operasi sistem seperti biasa.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, insiden itu turut dijangka mengurangkan keuntungan bersih yang boleh diagihkan kepada pemegang saham (PATAMI) sebanyak RM12 juta bagi tahun kewangan 2026 (FY26), manakala kesannya berpotensi berlarutan sehingga 2027 berikutan risiko kehilangan pelanggan dan peningkatan kos keselamatan siber.
Menurut firma penyelidikan itu, anggaran berkenaan dibuat berdasarkan andaian perkhidmatan yang terjejas dapat dipulihkan menjelang minggu ketiga Oktober, dengan setiap minggu tambahan kelewatan berpotensi menyebabkan kehilangan hasil sebanyak RM2.5 juta dan pengurangan keuntungan RM1.3 juta.
Daripada jumlah RM12 juta kesan terhadap keuntungan itu, kira-kira RM8 juta berpunca daripada gangguan operasi perniagaan, manakala RM4 juta lagi melibatkan kos pemulihan sistem, penilaian keselamatan bebas dan perbelanjaan berkaitan.
Insiden yang didedahkan pada 23 September lalu melibatkan akses tanpa kebenaran kepada persekitaran sistem yang menyokong perkhidmatan semakan kredit kendiri pengguna CTOS, menyebabkan perkhidmatan CTOS Score dan berkaitan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) digantung sementara.
Bagaimanapun, operasi komersial, institusi kewangan, korporat dan antarabangsa tidak terjejas, sekali gus membolehkan kira-kira 65% daripada hasil kumpulan kekal tidak terjejas oleh gangguan tersebut.

HLIB Research berkata, pengurusan CTOS menyasarkan untuk melengkapkan sebahagian besar keperluan pemulihan menjelang akhir minggu ini sebelum mengemukakannya kepada Bank Negara Malaysia (BNM), termasuk penilaian keselamatan bebas yang menjadi antara syarat penting untuk memulihkan akses CCRIS.
Namun, pemulihan sistem tidak semestinya membawa kepada pemulihan segera aktiviti perniagaan kerana jumlah transaksi dijangka mengambil masa antara 30 hingga 60 hari untuk kembali normal, walaupun perkhidmatan berjaya disambung semula.
Walaupun tiada pelanggan menamatkan kontrak setakat ini, firma penyelidikan itu melihat risiko bank dan institusi kewangan mula menggunakan penyedia laporan kredit alternatif sebagai sebahagian daripada pelan kesinambungan perniagaan, sekali gus mengurangkan pergantungan mereka kepada CTOS.
Selain itu, CTOS berdepan kemungkinan peningkatan kos keselamatan siber pada FY27 susulan pelaksanaan program pengukuhan keselamatan selama 12 bulan, termasuk penambahbaikan kawalan siber, keselamatan data dan pematuhan kepada keperluan Pengurusan Risiko dalam Teknologi (RMiT) BNM.
Sehubungan itu, HLIB Research menurunkan unjuran keuntungan CTOS masing-masing sebanyak 18% bagi FY26, 15% bagi FY27 dan 14% bagi FY28, mengambil kira pemulihan transaksi yang lebih perlahan, potensi kehilangan pelanggan serta tekanan persaingan.
Firma itu turut menurunkan saranan saham CTOS daripada 'Beli' kepada 'Pegang' dengan harga sasaran baharu RM0.50 sesaham, sambil berpandangan bahawa usaha memulihkan keyakinan pelanggan mungkin mengambil masa lebih lama berbanding pemulihan sistem syarikat. - DagangNews.com




