sarah15/10/2026 - 12:08 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 15 Okt - Insiden keselamatan siber yang melanda CTOS Digital Bhd (CTOS) dijangka menjejaskan keuntungan syarikat sebanyak RM12 juta bagi tahun kewangan 2026 (FY26), namun cabaran lebih besar adalah memulihkan keyakinan pelanggan yang mungkin mengambil masa lebih lama berbanding pemulihan sistemnya.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, walaupun perkhidmatan CTOS dijangka dapat dipulihkan dalam masa terdekat, kesan insiden itu berpotensi berlarutan sehingga 2027 berikutan risiko kehilangan pelanggan, pengurangan penggunaan perkhidmatan dan peningkatan kos keselamatan siber.
Menurutnya, CTOS menganggarkan kehilangan hasil sekitar RM16 juta dan pengurangan keuntungan bersih yang boleh diagihkan kepada pemegang saham (PATAMI) sebanyak RM12 juta bagi FY26, dengan andaian perkhidmatan terjejas dapat dipulihkan menjelang minggu ketiga Oktober.
"Setiap minggu tambahan kelewatan pemulihan perkhidmatan berpotensi mengurangkan hasil sebanyak RM2.5 juta dan keuntungan bersih sebanyak RM1.3 juta," katanya dalam nota penyelidikan.
Daripada jumlah RM12 juta itu, kira-kira RM8 juta berpunca daripada gangguan operasi perniagaan, manakala RM4 juta lagi melibatkan kos pemulihan sistem dan perbelanjaan berkaitan.
Insiden yang didedahkan pada 23 September lalu melibatkan akses tanpa kebenaran kepada sistem yang menyokong perkhidmatan semakan kredit kendiri pengguna CTOS, menyebabkan perkhidmatan CTOS Score dan berkaitan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) digantung sementara. Bagaimanapun, operasi komersial, institusi kewangan, korporat dan antarabangsa tidak terjejas, membolehkan kira-kira 65% hasil kumpulan terus dijana.
HLIB Research berkata, pengurusan CTOS menyasarkan untuk melengkapkan sebahagian besar keperluan pemulihan menjelang akhir minggu ini sebelum mengemukakannya kepada Bank Negara Malaysia (BNM), termasuk penilaian keselamatan bebas yang diperlukan bagi memulihkan akses CCRIS.

Namun, pemulihan sistem tidak semestinya membawa kepada pemulihan segera aktiviti perniagaan kerana jumlah transaksi dijangka mengambil masa antara 30 hingga 60 hari untuk kembali normal.
Walaupun tiada pelanggan menamatkan kontrak setakat ini, firma penyelidikan itu melihat risiko bank dan institusi kewangan mula menggunakan penyedia laporan kredit alternatif sebagai sebahagian daripada pelan kesinambungan perniagaan, sekali gus mengurangkan pergantungan mereka kepada CTOS.
Selain itu, kos keselamatan siber dijangka terus meningkat pada FY27 susulan pelaksanaan program pengukuhan keselamatan selama 12 bulan, termasuk penambahbaikan kawalan siber, keselamatan data dan pematuhan kepada keperluan Pengurusan Risiko dalam Teknologi (RMiT) BNM.
Sehubungan itu, HLIB Research menurunkan unjuran keuntungan CTOS masing-masing sebanyak 18% bagi FY26, 15% bagi FY27 dan 14% bagi FY28, mengambil kira pemulihan transaksi yang lebih perlahan, risiko kehilangan pelanggan serta tekanan persaingan.
Firma itu turut menurunkan saranan saham CTOS daripada 'Beli' kepada 'Pegang' dengan harga sasaran baharu RM0.50 sesaham, sambil menegaskan bahawa pemulihan sistem mungkin lebih cepat berbanding usaha membina semula keyakinan pelanggan terhadap syarikat. - DagangNews.com




