
PETALING JAYA: Semua latihan Tentera Darat termasuk tembakan diteruskan seperti biasa susulan kejadian seorang anggota cedera terkena peluru pistol ketika persiapan ujian kemahiran di Lapang Sasar 75 Meter, Sungai Menyala, Port Dickson kelmarin.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md. Othman berkata, insiden berkenaan tidak menjejaskan latihan unit dan kor lain dalam Tentera Darat termasuk Ujian Kemahiran Menembak.
“Insiden tersebut juga hanya melibatkan latihan daripada Markas Latihan Tentera Darat.
“Kejadian yang berlaku itu tidak memberi kesan kepada yang lain unit dan kor Tentera Darat. Latihan akan tetap diteruskan seperti biasa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, seorang anggota tentera, Truper Muhammad Akhmal Shahrudin cedera selepas terkena tembakan ketika berada di lapang sasar dekat Sungai Menyala kira-kira pukul 2.15 petang.
Kejadian berlaku apabila seorang lagi anggota sedang melaksanakan dry fire atau latihan kering sebelum melepaskan tembakan ke arah sasaran pada jarak 25 meter dan dia dipercayai tidak menyedari bahawa mangsa masih berada di belakang sasaran.
Kejadian berlaku ketika sesi latihan menembak bagi persiapan pertandingan Ujian Kemahiran Menembak Tentera Darat di lokasi kejadian.
Menurut Azhan, mangsa yang merupakan anggota komando Grup Gerak Khas (GGK) daripada pasukan Markas Latihan Tentera Darat terkena tembakan pistol ketika menjalani latihan berkenaan.
Katanya, susulan kejadian itu, Tentera Darat telah menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasharudin Mohd. Shariff berkata, anggota tentera terbabit direman selama tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang rakan sekerjanya terkena tembakan.
“Suspek direman selama tiga hari bermula 13 hingga 15 Ogos selepas perintah reman dibenarkan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Seremban, Noor Shazziera Safaruddin,” katanya.-UTUSAN
The post Insiden tembakan tidak jejas latihan Tentera Darat appeared first on Utusan Malaysia.






