
MELAKA – Seorang pegawai kanan berpangkat inspektor dan anggota polis wanita berstatus isteri orang masing-masing didenda RM3,000 dan RM2,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Melaka di sini, hari ini selepas mengaku bersalah berkhalwat, Mei lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Melaka, Mawardi Che Man menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Muhammad Shukri Hamzah, 40 dan Intan Suriani Abdul Kadir, 33, yang membuat pengakuan tersebut sejurus pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, kedua-duanya didapati berkurung di dalam sebuah bilik sewa pada pukul 11.57 malam, di Taman Mas Merah, Batu Berendam, Melaka Tengah, 14 Mei lalu.
Bagi perbuatan itu, tertuduh lelaki didakwa mengikut Seksyen 53(1) Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991, manakala pertuduhan wanita terbabit dibaca mengikut Seksyen 53(2) enakmen sama.
Pendakwaan dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Melaka, Wan Mahyuddin Wan Muhammad memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kedudukan kedua-dua tertuduh sebagai anggota penguat kuasa. – KOSMO! ONLINE
The post Inspektor, anggota polis wanita mengaku berkhalwat di bilik sewa appeared first on Kosmo Digital.




