
Kota Kinabalu: Seorang inspektor polis berusia 43 tahun terlepas daripada hukuman gantung selepas Mahkamah Persekutuan mengetepikan sabitan dan hukuman mati terhadapnya atas pertuduhan membunuh seorang ibu tunggal di Keningau 14 tahun lalu.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Tan Sri Nallini Pathmanathan bersama Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan membenarkan rayuan Ahmad Rizal Umar selepas mendengar hujahan pada Rabu.
Mahkamah mengetepikan sabitan dan hukuman mati itu serta membebas dan melepaskan Ahmad Rizal daripada pertuduhan berkenaan.
Menyampaikan keputusan mahkamah Nallini berkata panel telah meneliti sepenuhnya rekod rayuan serta hujahan lisan dan bertulis daripada kedua-dua pihak.
Mahkamah mendapati bahawa keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan tidak mencukupi untuk membuktikan kesalahan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata prinsip asas yang telah dilanggar ialah kegagalan Mahkamah Tinggi menilai keseluruhan keterangan sebagaimana dikehendaki di bawah Seksyen 182A Kanun Tatacara Jenayah.
“Ini adalah kegagalan yang serius.
“Daripada alasan penghakiman jelas bahawa hakim bicara memberi tumpuan utama kepada pembelaan tanpa membuat penilaian menyeluruh terhadap keseluruhan bukti. Mahkamah Rayuan pula gagal memperbetulkan perkara ini.
“Dalam keadaan ini jelas bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. Oleh itu kami membenarkan rayuan ini. Sabitan diketepikan dan tertuduh dibebaskan serta dilepaskan,” katanya.
Ahmad Rizal dilaporkan menangis selepas mendengar keputusan itu dan menutup wajahnya dengan kedua-dua tangan sebelum sujud syukur menurut peguamnya Datuk Ram Singh.
Pada 25 Jun 2020 Mahkamah Tinggi mendapati Ahmad Rizal bersalah dan menjatuhkan hukuman mati atas pertuduhan membunuh Kartini Borhan, 27, antara jam 4 hingga 5 pagi pada 29 September 2011 di sebuah rumah di Taman Adika, Keningau.
Ketika itu Ahmad Rizal bertugas sebagai inspektor polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Keningau.
Rayuannya terhadap sabitan dan hukuman itu telah ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 23 September 2024.
Ahmad Rizal yang didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan sebelum ini telah dilepaskan dan dibebaskan tanpa diperintahkan membela diri oleh seorang lagi hakim Mahkamah Tinggi pada 22 Julai 2014.
Namun Mahkamah Persekutuan pada 21 Mac 2018 mengarahkan beliau membela diri selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dan sejak itu beliau ditahan.
Ahmad Rizal memilih untuk memberi keterangan bersumpah pada 9 Oktober 2018.
Sementara itu ketika ditemui media Ram yang mewakili Ahmad Rizal bersama peguam Prem Elmer Ganasan secara pro bono berkata anak guamnya berterima kasih kepadanya dan percaya kepadanya sejak awal lagi.
Ram berkata Ahmad Rizal merancang untuk pulang ke kampung halamannya di Perak bagi bertemu semula keluarganya yang tidak pernah menziarahinya sejak dia diperintah membela diri.
Terdahulu Ram memohon agar Mahkamah Persekutuan membatalkan sabitan dan hukuman mati Ahmad Rizal.
Sebagai alternatif beliau memohon agar hukuman itu digantikan dengan penjara seumur hidup selama 33 tahun dan 12 sebatan selaras dengan pindaan Kanun Keseksaan 2023 selepas penggubalan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori.
Perayu mengemukakan 11 alasan rayuan antaranya bahawa Mahkamah Rayuan telah tersilap dari segi undang-undang dan membuat penemuan yang salah terhadap keseluruhan bukti.
Ram berkata mahkamah gagal menilai bukti forensik penting termasuk kesan tapak kaki pelbagai individu di tempat kejadian, ketidakpastian identiti bahan bukti, kelemahan dalam rantaian keterangan serta inferens yang salah terhadap rambut Ahmad Rizal yang ditemui di tapak tangan si mati.
Beliau menambah bahawa kes pendakwaan dicemari jurang bukti yang serius kerana pengendalian bahan bukti tidak dibuktikan dengan jelas, tiada pegawai dikenal pasti yang mengedap atau menyerahkan sampel darah dan terdapat beberapa profil DNA lelaki yang tidak dikenal pasti.
Kelemahan ini katanya tidak diperbetulkan oleh hakim bicara semasa peringkat pembelaan dan juga tidak ditangani oleh Mahkamah Rayuan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Zain Ibrahim yang mewakili pihak pendakwa raya bagaimanapun memohon agar mahkamah menolak rayuan itu dan mengekalkan sabitan serta hukuman mati yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi dan disahkan oleh Mahkamah Rayuan dengan alasan bahawa sabitan dan hukuman tersebut adalah selamat.


