
Kota Kinabalu: Seorang mekanik berusia 45 tahun dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret pada Selasa kerana secara tidak jujur melupuskan sebuah amplifier yang dicuri.
Bensulianoh Abd Hamid mengaku bersalah di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus atas kesalahan tersebut yang dilakukan di bengkel CW Auto Parts, EUC Centre, Jalan KK–KB, Tuaran pada jam 2 petang, 18 Oktober tahun ini.
Dia didakwa di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja melupuskan satu unit amplifier empat saluran berjenama Trans yang diketahuinya atau mempunyai sebab untuk mempercayai sebagai barang curi.
Seksyen berkenaan memperuntukan hukuman penjara antara enam bulan hingga tujuh tahun serta denda jika sabit kesalahan.
Inspektor Mohamad Hamidi Mohamad Hamzah memaklumkan kepada mahkamah bahawa pengadu seorang lelaki dari Kampung Mabpai, Jalan Nikmat, Luyang telah menyerahkan keretanya kepada Bensulianoh pada 16 Oktober untuk dibaiki di Telipok Ria selepas dimaklumkan terdapat masalah pada oil plug.
Keesokan harinya Bensulianoh memulangkan kereta tersebut namun pengadu kemudian mendapati beberapa barangan berharga termasuk amplifier telah hilang dengan jumlah kerugian dianggarkan RM1,455.
Siasatan polis mendapati Bensulianoh sendiri yang mengambil kereta itu dari rumah pengadu dengan alasan mahu membawanya ke bengkel untuk dibaiki. Berdasarkan maklumat sepasukan polis menahan Bensulianoh pada 21 Oktober di Tuaran.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan manakala Hamidi memohon agar hukuman pencegahan dikenakan.
Dalam kes berasingan seorang wanita berusia 24 tahun didenda RM1,000 atau tiga bulan penjara oleh mahkamah sama kerana membeli dua tiket loteri awam tidak berlesen.
Siti Nur Zaleha Amil Hussin mengaku bersalah atas kesalahan itu yang dilakukan berhampiran tangga di sebelah sebuah restoran di Pekan Manggatal pada jam 3 petang, 18 Oktober tahun ini.
Hamidi memberitahu mahkamah bahawa sepasukan polis menjalankan Ops Dadu di kawasan berkenaan apabila melihat seorang wanita kemudian dikenal pasti sebagai Siti sedang membeli tiket loteri haram jenis Hwa Hui.
Pemeriksaan terhadap Siti menemui dua keping resit bernombor yang dipercayai pertaruhan bagi loteri dua digit tidak berlesen. Siti kemudian ditahan dan bahan perjudian tersebut dirampas.
Laporan pakar perjudian mengesahkan resit yang dirampas adalah tiket loteri awam tidak berlesen.
Siti disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 9(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Sementara itu seorang lelaki berusia 36 tahun didenda RM100 atau penjara lapan minggu kerana gagal menjelaskan deposit tunai berjumlah RM16,700 dalam akaun banknya dua tahun lalu.
Mohd Fazlee Shah Roslee mengaku bersalah melakukan kesalahan itu pada 11 September 2023 di Pekan Donggongon, Penampang.
Dia didakwa di bawah Seksyen 22A(1) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil yang memperuntukan denda maksimum RM100 atau penjara sehingga tiga bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah diberitahu bahawa pengadu menerima panggilan telefon daripada individu yang mengaku sebagai pegawai polis dan menuduh pengadu terlibat dalam satu kes jenayah.
Pemanggil itu kemudian mengarahkan pengadu memindahkan RM16,700 ke akaun Fazlee untuk “menyelesaikan” perkara tersebut.
Pengadu hanya menyedari dirinya ditipu apabila panggilan tersebut tidak lagi dapat dihubungi lalu membuat laporan polis.
Fazlee yang tidak diwakili peguam memohon agar dikenakan denda ringan.


