Inspektor Sheila Cabar Keputusan Pemecatan, Dakwa Hak Pembelaan Dinafi 

LocalPolitics
26 Nov 2026 • 3:33 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Inspektor Sheila Cabar Keputusan Pemecatan, Dakwa Hak Pembelaan Dinafi 

KUALA LUMPUR - Bekas pegawai polis, Inspektor Sheila Sharon Steven Kumar, mencabar keputusan pemecatannya daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi, atas dakwaan berlaku ketidakaturan dalam proses tatatertib yang membabitkan 23 pertuduhan terhadapnya.

Sheila, yang lebih dikenali sebagai Inspektor Sheila, memfailkan permohonan itu pada 29 Oktober lalu dengan menamakan bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, lembaga tatatertib PDRM, suruhanjaya berkaitan serta kerajaan sebagai responden, lapor Malaysiakini.

Dalam afidavit sokongan, beliau mendakwa empat daripada 23 pertuduhan berkenaan tidak pernah dimaklumkan kepadanya sebelum surat pemecatan diterima, sekali gus menyebabkan beliau tidak berpeluang mengemukakan pembelaan terhadap tuduhan terbabit.

“Jelas sekali, saya tidak dapat mempertahankan diri daripada pertuduhan yang tidak pernah dimaklumkan kepada saya.

“Saya dinasihatkan oleh peguam dan sesungguhnya percaya bahawa tindakan sedemikian adalah tidak sah serta terbatal.

“Keputusan responden dibuat melalui proses yang tidak teratur, tidak munasabah, tidak wajar dan secara asasnya tidak adil terhadap saya,” katanya.

Beliau turut mempertikaikan pengendalian baki 19 pertuduhan yang berkaitan dakwaan salah laku antara 2017 hingga 2019.

Menurut Sheila, beliau sudah mengemukakan representasi bagi menjawab setiap dakwaan pada 23 April 2024, namun mendakwa penjelasan itu tidak dipertimbangkan walaupun dokumen berkenaan diterima pejabat pendaftaran Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) pada hari berikutnya.

Katanya, beliau kemudian dimaklumkan menerusi notis hukuman tatatertib bahawa responden pertama dan kedua tidak menerima representasi yang dikemukakannya.

“Saya amat terkejut apabila menerima notis hukuman tatatertib yang menyatakan responden pertama dan kedua tidak menerima representasi saya, sedangkan pejabat berkenaan sebenarnya sudah menerimanya pada 24 April 2024.

“Saya telah mengambil langkah seperti diarahkan pihak berkuasa untuk menjawab segala dakwaan yang dikemukakan.

“Bagaimanapun, keputusan untuk menamatkan perkhidmatan saya dibuat tanpa mengambil kira representasi tersebut,” katanya.

Sheila yang menyertai PDRM pada 2016, dipecat pada 3 Ogos lalu susulan dua keputusan tatatertib berhubung 23 pertuduhan berkenaan.

Menerusi permohonan semakan kehakiman itu, beliau memohon supaya keputusan pemecatan dibatalkan dan dikembalikan ke jawatan Inspektor tanpa sebarang penurunan pangkat.

Beliau turut menuntut pembayaran tunggakan gaji, emolumen, elaun, bonus serta segala faedah lain bermula dari tarikh pemecatan sehingga kembali bertugas, selain pemulihan semula semua kelayakan perkhidmatan awamnya.

Antara tuntutan lain dikemukakan ialah ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan, kos guaman serta faedah tahunan lima peratus terhadap sebarang jumlah ganti rugi yang diberikan mahkamah.

Hakim Mahkamah Tinggi, Indra Nehru, sebelum ini membenarkan kebenaran untuk Sheila meneruskan prosiding semakan kehakiman selepas pihak responden tidak membantah permohonan berkenaan.

Bagaimanapun, mahkamah masih belum menetapkan tarikh prosiding seterusnya atau membuat keputusan berhubung merit cabaran yang dikemukakan beliau. - Getaran, 26 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved