Inspektor Sheila dibenar cabar keputusan pemecatan dari PDRM

LocalPolitics
26 Nov 2026 • 4:17 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Inspektor Sheila dibenar cabar keputusan pemecatan dari PDRM

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan Inspektor Sheila untuk mencabar keputusan berhubung pemecatannya daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkait 23 kesalahan tatatertib.

Permohonan itu difailkan Inspektor Sheila atau nama sebenarnya Sheila Sharon Steven Kumar, 38, menerusi Tetuan M. Manoharan & Co pada 29 Oktober lalu.

Beliau menamakan Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay selaku Pengerusi Lembaga Tatatertib PDRM (pada ketika itu), Lembaga Tatatertib PDRM, Suruhanjaya Pasukan PDRM dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga keempat.

Permohonan itu dibenarkan Hakim S. Indra Nehru selepas tiada bantahan dibuat oleh pihak responden yang diwakili Peguam Persekutuan, Mohammad Solehheen Mohammad Zaki.

Perkara itu disahkan Mohammad Solehheen ketika dihubungi media selepas prosiding bagi permohonan itu hari ini.

Dalam dokumen yang diperoleh media, Sheila memohon perintah certiorari untuk membatalkan dua surat pemberitahuan hukuman tatatertib bertarikh 7 Julai 2026 yang diterima pada 3 Ogos lalu, berhubung hukuman buang kerja yang berkuat kuasa mulai 3 Julai 2026.

Pemecatan itu dikenakan mengikut Peraturan 38(g) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 selepas didapati bersalah atas 23 kesalahan tatatertib.

Dalam afidavit sokongannya, Sheila mendakwa proses tatatertib itu melanggar prinsip keadilan asasi apabila tidak pernah menerima surat tunjuk sebab bertarikh 20 Jun 2024 bagi empat kesalahan sehingga menyebabkannya gagal membela diri.

Bagi 19 kesalahan lain, Sheila mendakwa surat pemberitahuan hukuman itu menyatakan pihak Lembaga Tatatertib tidak menerima surat representasinya, sedangkan dokumen itu telah dihantar dan mempunyai cop penerimaan rasmi Pejabat Pendaftaran Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) bertarikh 24 April 2024.

Sehubungan itu, Sheila memohon perintah mandamus supaya diterima bekerja semula pada pangkat Inspektor tanpa sebarang penurunan pangkat.

Wanita itu juga menuntut dibayar segala tunggakan gaji, elaun serta bonus sejak tarikh dipecat, rekod pemecatan dipadamkan daripada rekod perkhidmatan serta menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan. – UTUSAN

The post Inspektor Sheila dibenar cabar keputusan pemecatan dari PDRM appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved