KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Bekas pegawai polis dikenali sebagai Inspektor Sheila memperoleh kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis terhadap empat pihak, termasuk bekas Pengerusi Lembaga Tatatertib Polis Diraja Malaysia, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Hakim, S Indra Nehru memutuskan demikian selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak membantah permohonan berkenaan.
Peguam Persekutuan, Mohammad Solehheen Mohammad Zaki mengesahkan perkara itu ketika dihubungi media.
Sheila, 38, selaku pemohon memfailkan permohonan itu menerusi Tetuan M Manoharan & Co pada 29 Oktober lalu dengan menamakan Ayob Khan, Lembaga Tatatertib Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga keempat.
Pada 29 Oktober lalu, Inspektor Sheila atau nama sebenarnya Sheila Sharon Steven Kumar memfailkan permohonan secara sebelah pihak atau ‘ex-parte’ selepas dipecat daripada jawatan berkenaan berkuat kuasa 3 Julai lalu.
Berdasarkan afidavit sokongan, wanita itu memfailkan permohonan berkenaan bagi mencabar keputusan pemecatannya dengan mendakwa tidak diberi peluang sewajarnya untuk membela diri.
Sheila Sharon berkata, telah berkhidmat dengan PDRM sejak 2016 sebelum ditugaskan sebagai Pegawai Penyiasat Jenayah Komersial di Balai Polis Petaling Jaya dari 2017 hingga 2022.
Bagaimanapun, katanya, pada 3 Ogos lalu, beliau menerima dua surat Pemberitahuan Hukuman Tatatertib Terhadap Inspektor Percubaan.
“Surat itu menyatakan saya bersalah atas 23 kesalahan tatatertib, menyebabkan hukuman buang kerja menurut Peraturan 38(g) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 telah dilaksanakan,” menurut dokumen itu.
Susulan itu, beliau memohon perintah ‘certiorari’ bagi membatalkan keputusan semua responden menerusi dua surat berkenaan.
Beliau turut memohon perintah ‘mandamus’ yang mengarahkan responden menerima, mengambil dan menempatkannya semula sebagai pegawai polis berpangkat Inspektor tanpa sebarang penurunan pangkat.
Selain itu, pemohon menuntut supaya segala manfaat, kelayakan, tunggakan gaji, emolumen, elaun dan bonus yang tertunggak dibayar semula bermula dari tarikh pembuangan kerja sehingga beliau ditempatkan semula.
Beliau turut memohon perintah ‘mandamus’ supaya semua catatan mengenai keputusan dan hukuman tatatertib dipadam serta dikeluarkan daripada rekod perkhidmatannya.
Beliau juga menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan yang akan ditaksirkan mahkamah, berserta faedah pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh, selain kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.






