
KUALA LUMPUR, 26 NOV: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan bekas pegawai polis yang dikenali sebagai “Inspektor Sheila” untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan pemecatannya daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung 23 kesalahan tatatertib.
Hakim S Indra Nehru membuat keputusan itu selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak membantah permohonan Sheila atau nama sebenarnya Sheila Sharon Steven Kumar, 38.
Peguam Persekutuan Mohammad Solehheen Mohammad Zaki ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
Sheila memfailkan permohonan berkenaan pada 28 Okt lepas menerusi Tetuan M Manoharan & Co dengan menamakan bekas Pengerusi Lembaga Tatatertib PDRM Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, Lembaga Tatatertib PDRM, Suruhanjaya Pasukan Polis dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Menerusi permohonan itu, beliau memohon deklarasi bahawa keputusan pemecatannya melalui dua surat pemberitahuan hukuman tatatertib bertarikh 7 Julai 2026 adalah tidak sah dan bertentangan dengan undang-undang.
Beliau turut memohon perintah certiorari bagi membatalkan keputusan berkenaan serta perintah mandamus supaya responden menerima dan menempatkannya semula sebagai pegawai polis berpangkat Inspektor tanpa penurunan pangkat.
Selain itu, Sheila menuntut pembayaran semula gaji, elaun, bonus dan segala manfaat tertunggak sejak tarikh pemecatannya pada 3 Julai lepas, selain memohon supaya rekod berkaitan hukuman tatatertib itu dipadamkan daripada rekod perkhidmatannya.
Beliau turut menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan, faedah lima peratus setahun serta kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Dalam afidavit sokongan, Sheila mendakwa beliau tidak pernah menerima surat tunjuk sebab atau notis tindakan tatatertib sebelum dimaklumkan mengenai hukuman berkenaan, selain tidak diberi peluang untuk membela diri.






