amree24/09/2026 - 10:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Sept – Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM) melantik Sridharan Nair atau turut dikenali dengan nama Sri sebagai Ahli Lembaga Pengarahnya.
Pelantikan beliau membawa pengalaman luas di peringkat serantau dalam bidang audit, tadbir urus dan kepimpinan, sekali gus memperkukuh keupayaan Lembaga Pengarah ICDM dalam menyokong usaha institut itu meningkatkan profesionalisme lembaga pengarah dan profesion pengarah.
Pengalaman luas tersebut turut dijangka dapat membantu ICDM dalam memperkukuh aspek standard tadbir urus serta keberkesanan lembaga pengarah di Malaysia.
"Sri mempunyai lebih 36 tahun pengalaman dalam bidang audit, tadbir urus dan khidmat nasihat perniagaan di Malaysia, rantau Asia Pasifik dan United Kingdom," katanya dalam kenyataan.
Sepanjang kerjayanya, beliau telah memberi khidmat nasihat kepada syarikat tersenarai, institusi kewangan dan organisasi multinasional dalam perkara berkaitan audit, pemantauan kewangan, tadbir urus, pengurusan risiko serta strategi perniagaan.
Pengalaman beliau bekerjasama dengan lembaga pengarah, pemimpin perniagaan dan pihak pengawal selia di pelbagai pasaran akan memberikan perspektif serantau dan antarabangsa yang bernilai kepada Lembaga Pengarah ICDM.
"Selain itu, Sri mempunyai pengalaman selama 32 tahun bersama PwC dan terakhir memegang jawatan sebagai Pengerusi PwC Asia Pasifik," katanya lagi.
Antara jawatan kepimpinan lain yang pernah disandang beliau termasuk Naib Pengerusi Asia Pasifik – Markets, Rakan Kongsi Kanan Wilayah PwC Malaysia/Vietnam serta Rakan Pengurusan PwC Malaysia.
Beliau juga pernah menganggotai Lembaga Yayasan Pelaporan Kewangan Malaysia selama enam tahun dan kerap menjadi penceramah serta pengulas mengenai tadbir urus korporat, trend ekonomi, kepelbagaian lembaga pengarah, modal insan dan pembangunan bakat.
Pengerusi Lembaga ICDM, Tan Sri Zarinah Anwar berkata, pihaknya mengalu-alukan pelantikan Sri ke dalam Lembaga Pengarah ICDM.
Katanya, pengalaman Sri dalam menerajui PwC Asia Pasifik serta bekerjasama dengan lembaga pengarah, pihak pengawal selia dan pemimpin perniagaan dari perspektif kepimpinan luaran dan dalaman akan memperkukuh inisiatif ICDM dan sokongan kepada para pengarah.
Tambah beliau, ICDM akan terus berusaha menggalakkan standard kepimpinan lembaga pengarah yang lebih tinggi di Malaysia. - DagangNews.com






