Inta Bina bangunkan Senja Residensi bernilai RM291 juta di Bukit Jelutong

2 Oct 2026 • 6:44 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Inta Bina bangunkan Senja Residensi bernilai RM291 juta di Bukit Jelutong Image from: Inta Bina bangunkan Senja Residensi bernilai RM291 juta di Bukit Jelutong johardy02/10/2026 - 18:44 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 2 Okt - Inta Bina Group Berhad membangunkan projek pangsapuri perkhidmatan sebanyak 499 unit di Bukit Jelutong dengan unjuran nilai pembangunan kasar (GDV) RM290.96 juta, bagi mengembangkan perniagaan pembangunan hartanahnya selain operasi teras pembinaan.

 

Anak syarikat milik penuhnya, Seiring Setia Sdn Bhd akan melaksanakan projek Senja Residensi @ Bukit Jelutong, manakala kontrak pembinaan akan diberikan kepada sebuah lagi anak syarikat milik penuh, Inta Bina Sdn Bhd, menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Pembangunan itu bermula pada 1 Oktober dan dijangka siap dalam tempoh 36 bulan. Projek tersebut terletak di Jalan Bazar U8/100, Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor.

 

Inta Bina merancang membiayai pembangunan itu menggunakan dana dalaman, pinjaman luar atau gabungan kedua-duanya.

 

Syarikat menjangkakan projek tersebut menyumbang secara positif kepada keuntungan masa hadapan kumpulan sepanjang tempoh pembangunan dan apabila hartanah yang siap dibangunkan dijual, tertakluk kepada kemajuan pembangunan, keadaan pasaran dan pencapaian unjuran GDV.

 

Kontrak pembinaan yang akan diberikan kepada Inta Bina Sdn Bhd dijangka meningkatkan kepastian pendapatan kumpulan pada masa hadapan, menurut syarikat itu. Nilai kontrak pembinaan tidak didedahkan dalam makluman tersebut.

 

Projek pembangunan hartanah kedua

Senja Residensi merupakan projek pembangunan hartanah kedua kumpulan, selepas penyerahan milikan kosong bagi pembangunan pertamanya pada pertengahan Julai 2026, kata Pengarah Urusan, Paul Lim dalam kenyataan media berasingan.

 

“Kami melihat pembangunan hartanah sebagai bidang pertumbuhan yang melengkapi perniagaan teras pembinaan kami,” katanya.

 

“Projek ini menyokong strategi kami untuk mewujudkan nilai jangka panjang kepada pemegang saham melalui sumber pendapatan yang lebih seimbang daripada aktiviti pembinaan dan pembangunan hartanah.”

 

Pembangunan itu merangkumi dua blok kediaman, dengan 247 unit pangsapuri perkhidmatan di Blok A dan 252 unit di Blok B, selain 16 unit kedai, tempat letak kenderaan serta kemudahan penduduk seperti kolam renang, gimnasium, dewan serbaguna dan kebun komuniti.

 

Inta Bina berkata, pihaknya tidak menjangkakan risiko ketara selain risiko operasi sepanjang tempoh pembinaan. Pembangunan itu tidak memerlukan kelulusan pemegang saham, dan tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak yang mempunyai kaitan dengan mereka memiliki kepentingan langsung atau tidak langsung dalam projek tersebut.

 

Kumpulan mempunyai pengalaman pembinaan melebihi 30 tahun dan telah menyiapkan lebih 155 projek bangunan dengan jumlah nilai kontrak melebihi RM5 bilion, kebanyakannya di Lembah Klang dan Johor, menurut kenyataan medianya. — DagangNews.com

 

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved