Inta Bina diramal catat keuntungan suku pertama antara RM9.1 juta hingga RM11.5 juta - TA Securities

24/04/2025 - 11:12
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 24 April - Inta Bina Group Bhd diramal mencatatkan keuntungan bersih suku tahunan antara RM9.1 juta dan RM11.5 juta bagi suku pertama tahun ini. Keputusan kewangan tersebut dijadualkan pada Mei 2025.
TA Securities berkata, ia mewakili sekitar 20% hingga 25% daripada unjuran pendapatan tahunan syarikat tersebut, dengan kadar pertumbuhan tahun-ke-tahun yang sihat antara 29% hingga 62%, disokong oleh kemajuan bil-bil yang kukuh.
"Pencapaian ini didorong rekod tinggi dalam kontrak baharu yang dimenangi oleh Inta Bina, berjumlah RM1.2 bilion pada tahun lalu, serta buku pesanan yang belum ditagih sebanyak kira-kira RM1.7 bilion," katanya dalam satu nota kajian.
TA Securities mengekalkan ramalan keuntungan mereka untuk Inta Bina bagi tahun ini, dengan penarafan "beli" dan harga sasaran 87 sen berdasarkan penggandaan 11 kali pendapatan tahunan.
Pada harga saham semasa sebanyak 45 sen, saham Inta Bina menawarkan hasil dividen yang menarik sebanyak 5.8%, berdasarkan jangkaan pembayaran dividen sebanyak 2.5 sen sesaham tahun ini.
Walaupun syarikat tidak mempunyai polisi dividen rasmi, mereka telah menunjukkan rekod pembayaran dividen yang konsisten dengan purata 37% dalam tempoh tiga tahun lepas.
Firma penyelidikan itu berkata, pembayaran dividen 2.5 sen sesaham itu hanya mewakili 31% daripada unjuran pendapatan sesaham sebanyak 7.9 sen bagi tahun ini, menunjukkan ruang untuk pengagihan yang lebih mampan.
Inta Bina juga sedang meneroka peluang pengembangan ke wilayah selatan, terutamanya di Johor Baru, bagi memanfaatkan pasaran hartanah Johor yang berkembang pesat, terutama selepas penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura.
TA Securities menjangkakan syarikat itu mampu memenuhi sasaran penambahan kontrak baru sebanyak RM1 bilion pada tahun ini.
"Pemeriksaan saluran yang menunjukkan buku tender semasa berjumlah sekitar RM3 bilion.
"Dengan kadar kejayaan sekitar 25%, ini berpotensi menyumbang kepada kemenangan kontrak sekitar RM750 juta," katanya.
Kumpulan itu membeli tanah seluas 2.7 ekar di Bukit Jelutong pada Disember lalu dan baru-baru ini menandatangani perjanjian dengan Zikay Properties Sdn Bhd untuk membeli pemaju Aliran Restu Sdn Bhd dengan harga RM5 juta.
Langkah itu sebahagian daripada strategi syarikat untuk mengembangkan bidang pembangunan hartanah, dengan fokus kepada perumahan mampu milik dan pengukuhan margin keuntungan mereka.- DagangNews.com
standard

