Lysaght peroleh kontrak RM57 juta bekal tiang lampu jalan di Singapura

LocalBusiness & Finance
29 Aug 2025 • 10:17 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Lysaght peroleh kontrak RM57 juta bekal tiang lampu jalan di Singapura

image is not available

29/08/2025 - 10:17

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 29 Ogos – Lysaght Galvanized Steel Bhd memperoleh kontrak bernilai S$17.37 juta (RM57.07 juta) daripada kontraktor kejuruteraan trafik Singapura, ATS Traffic Pte Ltd bagi pembekalan tiang lampu jalan.

Syarikat itu menawarkan kepakaran dalam binaan bumbung, dinding dan struktur keluli ringan berteknologi tinggi serta mengeluarkan tiang untuk lampu jalan dan lampu isyarat.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Lysaght berkata, kontrak berkenaan dianugerahkan kepada anak syarikat milik penuhnya di Singapura, Lysaght Marketing (S) Pte Ltd.

“Penghantaran telah bermula pada suku ketiga 2025 dan projek ini akan dilaksanakan dalam tempoh enam tahun.

“Kontrak terbaharu ini menambah nilai tempahan sedia ada yang diterima daripada Guthrie Engineering (S) Pte Ltd bernilai S$6 juta pada Mei dan Sing Moh Electrical Engineering Pte Ltd bernilai S$6.9 juta pada Jun.

“Kesemua nilai kontrak menjadikan jumlah keseluruhan yang dikumpul anak syarikat di Singapura kini mencecah S$30.27 juta (RM99.46 juta),” kata Lysaght.

Bagi suku kewangan berakhir 30 Jun 2025, Lysaght merekodkan keuntungan bersih RM1.13 juta, merosot lebih separuh berbanding RM2.79 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya, manakala hasil turut susut 19.3% kepada RM19.23 juta daripada RM23.83 juta.

Lysaght sebelum ini pernah terlibat dalam pelbagai projek ikonik di Malaysia dan Singapura. Antara bangunan yang menggunakan kepakaran dan produk syarikat itu ialah Menara Berkembar Petronas dan Merdeka 118 yang menampilkan sistem lantai konkrit keluli Bondek II.

Produk Lysaght juga digunakan dalam pembangunan komersial utama seperti Pavilion Bukit Jalil, IKEA Cheras, IKEA Batu Kawan, serta Genting Premium Outlets.

Selain itu, syarikat turut menyumbang kepada projek berskala nasional seperti Kompleks Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu dan Muzium Sarawak yang merupakan antara muzium terbesar di Asia Tenggara.

Di Singapura pula, produk Lysaght dipasang dalam projek ikonik Esplanade Theatres on the Bay, Marina Bay Sands, serta bangunan lestari NUS Net-Zero Energy Building (SDE4).- DagangNews.com

standard