
IQOO 15 Ultra telah dilancarkan secara rasmi di China sebagai tambahan baharu untuk siri IQOO 15 sedia ada. Peranti ini hadir dengan skrin 6.85 inci 2K+ AMOLED LTPO yang menyokong kadar segar semula 144Hz, kecerahan puncak 8000 nits, teknologi ‘Pleasing Eye Protection 2.0’ serta Dolby Vision.

IQOO 15 Ultra dikuasai oleh cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 bersama cip gaming Q3 yang menyokong memori sehingga 24GB RAM LPDDR5X dan storan UFS 4.1 sehingga 1TB. Bagi memastikan prestasi kekal stabil, ia turut dilengkapi sistem penyejukan ‘Ice Dome Cooling System’ dengan kipas terbina dan plat VC terbina bersaiz besar.

Selain itu, IQOO 15 Ultra turut menampilkan butang bahu terbina yang dioptimumkan untuk permua seperti Delta Force. Ia juga disertakan sistem pembesar suara stereo Dolby Atmos dengan rekaan coaxial simetri serta motor getaran Warhammer MAX yang menawarkan kesan 4D untuk pengalaman permua lebih imersif. Dari segi fotografi, peranti ini menawarkan kamera utama 50MP dengan OIS, ultra lebar 50MP, telefoto periskop 50MP dan kamera hadapan 32MP. Ia turut menyokong algoritma NICE bagi menghasilkan kualiti imej yang sinematik.

Lain-lain spesifikasi termasuk sistem operasi Android 16 dengan antaramuka OriginOS 6.0, imbasan cap jari ultrasonik dalam skrin, ketahanan air dan debu IP68+IP69, serta sokongan rangkaian seperti Wi-Fi 7, Bluetooth 6.0 dan NFC. Harga jualan IQOO 15 Ultra bermula RMB5,699 (~RM3,237).


