Baru-baru ini, Intel telah memperkenalkan siri cip pemprosesan Intel Wildcat Lake mereka, atau Intel Core 300 sebagai siri cip pemprosesan komputer riba yang boleh digunakan untuk membantu jenama-jenama komputer riba menawarkan komputer riba kelas mampu-milik yang masih lagi mempunyai kemampuan pemprosesan dan jangka hayat bateri yang baik.

Bersempena dengan siri cip pemprosesan tersebut, mereka juga telah memperkenalkan Project Firefly, sebuah pelan untuk menggabungkan penggunaan cip Intel Core 300 tersebut bersama-sama dengan kemampuan pengeluaran peranti China untuk menghasilkan peranti komputer riba mampu-milik yang masih mengekalkan rekaan unik setiap jenama.
Sam Gao, seorang eksekutif dalam bahagian Intel Client Computing Group telah menunjukkan contoh sebuah komputer riba nipis dan ringan yang dikuasakan sebuah cip pemprosesan Intel Core 300, dan ia dilihat mempunyai rekaan yang tidak setebal komputer-komputer riba mampu-milik yang lain.

Dengan Wildcat Lake, pembuat komputer riba di China boleh menggunakan pengetahuan membina papan litar dan komponen-komponen lain untuk menghasilkan komputer riba pada kos yang lebih rendah dan masih menghasilkan komputer riba yang sesuai digunakan untuk tujuan produktiviti yang tidak begitu membebankan pengguna dari segi harga dan juga saiz.

Sokongan memori satu saluran LPDDR5X-7467 dan DDR5-6400 pada cip-cip Wildcat Lake juga dilihat sedikit sebanyak akan membantu untuk mengurangkan kos pembangunan komputer riba ini, yang mana komputer riba tersebut masih boleh beroperasi dengan baik walaupun hanya menggunakan satu memori 8GB ataupun 16GB.
Pada pendapat kami, ini adalah satu cara untuk Intel bersaing dengan siri komputer riba mampu-milik pertama oleh Apple, iaitu MacBook Neo. Dimana Apple menggunakan lebihan cip pemprosesan untuk peranti iPhone mereka untuk menguasakan komputer riba mereka, jenama China boleh menggunakan Wildcat Lake dan kemampuan menghasilkan komponen dan rangka komputer riba mereka untuk menawarkan sebuah produk yang boleh bersaing dari segi kos dengan jenama Amerika tersebut.






