
PETALING JAYA: Pelbagai bantuan, insentif dan inisiatif pembangunan diumumkan kerajaan menerusi Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini.
Belanjawan bertemakan ‘Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’ itu merupakan belanjawan kedua di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030 dan kelima di bawah Kerajaan MADANI.
Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan lebih RM80 bilion bagi subsidi, bantuan dan insentif tahun depan termasuk subsidi bahan api yang dijangka kekal tinggi pada RM40 bilion serta hampir RM3.3 bilion untuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Antara intipati utama Belanjawan 2027 adalah seperti berikut:
– Peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dinaikkan daripada RM15 bilion kepada RM16 bilion bagi membantu rakyat yang layak menerima bantuan berkenaan.
– Seramai sembilan juta penerima STR akan menikmati Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sehingga RM150 sebulan atau maksimum RM1,800 setahun.
– Bantuan SARA sebanyak RM100 turut diberikan kepada 13 juta rakyat berusia 18 tahun ke atas termasuk golongan M40 sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri dan menjelang Hari Kebangsaan.
– Penggunaan SARA diperluas bagi membolehkan penerima membeli barangan basah dan segar di 216 pasar tani atau tamu di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di seluruh negara.
Kerajaan akan menambah 10,000 kedai runcit kecil sebagai rakan niaga SARA sebelum akhir tahun ini berbanding 15,000 premis sedia ada termasuk 6,800 kedai runcit kecil dan koperasi.
– Sebanyak RM750 juta disediakan bagi pelaksanaan Jualan Rahmah dan Jualan Agro MADANI dengan sasaran 35,000 penganjuran termasuk 30,000 Jualan Rahmah di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), selain Jualan Rahmah MADANI Borong bagi membantu peniaga kecil.
– Sebanyak 5,000 program Jualan Agro MADANI akan dilaksanakan tahun depan dengan tawaran harga barangan sehingga 30 peratus lebih murah, manakala RM250 juta diperuntukkan bagi pengedaran barangan asas ke kawasan pedesaan dan pedalaman.
– Kadar gaji minimum akan dinaikkan daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan berkuat kuasa Jun 2027.
– Had pelepasan cukai individu ditingkatkan daripada RM9,000 kepada RM12,000, selain diperluas bagi merangkumi perkhidmatan penjagaan selepas bersalin dan tuisyen anak.
– Kerajaan bersama Grab bersetuju membiayai pakej bernilai RM160 juta mulai 2027 bagi meningkatkan pendapatan bersih dan menambah baik kebajikan pekerja e-hailing serta p-hailing.
– Insentif caruman padanan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebanyak 35 peratus ditawarkan kepada pekerja e-hailing dan p-hailing, manakala kadar 70 peratus disediakan kepada lebih 200,000 individu bekerja sendiri.
– Pelepasan cukai tambahan sehingga RM150 diberikan bagi caruman sukarela di bawah Skim Lindung 24 Jam dan Lindung Kendiri.
– Pemandu e-hailing dan p-hailing akan menikmati caruman padanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga RM600 setahun atau maksimum RM6,000 sepanjang hayat.
– Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Agrobank menyediakan pembiayaan RM270 juta kepada pekerja gig yang berhasrat memulakan perniagaan atau membeli rumah pertama.
– Setiap warganegara akan didaftarkan secara automatik sebagai ahli KWSP sebaik mencapai usia 18 tahun sebagai usaha meningkatkan perlindungan sosial.
– Sabah menerima peruntukan RM18.7 bilion, manakala Sarawak sebanyak RM16.2 bilion bagi tahun depan, selain peluang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi kepada 4,200 anak kedua-dua negeri itu setiap tahun.
– Sebanyak RM3.3 bilion diperuntukkan bagi pelaksanaan projek jalan raya di Sabah dan Sarawak, manakala RM350 juta bagi kerja penyelenggaraan jalan Persekutuan dikhususkan kepada kontraktor G1 hingga G4 di kedua-dua negeri berkenaan.
– Peruntukan projek jalan desa ditingkatkan kepada RM2.3 bilion berbanding RM1.3 bilion pada 2022 bagi menambah baik kemudahan perhubungan masyarakat luar bandar.
– Kerajaan menyediakan RM3.3 bilion bagi pembangunan prasarana asas desa termasuk pemasangan lampu jalan kampung, kemudahan komuniti serta bekalan air bersih dan elektrik.
– Pelaksanaan projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) melibatkan pelaburan RM5 bilion bagi meningkatkan ketersambungan Internet, termasuk penyediaan Wi-Fi di semua kampus universiti awam serta liputan 4G di seluruh penempatan FELDA.
– Kerajaan menyasarkan semua kampung Orang Asli menerima liputan 4G tahun depan, selain meningkatkan ketercapaian Internet di sepanjang 7,000 kilometer jalan raya dan 1,700 kilometer landasan kereta api serta melaksanakan projek Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM).
– Sistem Transit Aliran Autonomi Bertingkat (e-ART) akan dilaksanakan bagi menangani masalah kesesakan lalu lintas di Johor Bahru.
– Sebanyak RM100 juta diperuntukkan bagi pembangunan kolam takungan dan kerja penyelenggaraan sungai untuk mengurangkan risiko banjir di Lembah Klang.
– Kerajaan akan memulakan perancangan Projek Empangan Lebir sebagai penyelesaian jangka panjang terhadap masalah banjir dan bekalan air bersih di Kelantan.
– Pembangunan Bandar MADANI Bukit Jalil akan dilaksanakan sebagai kawasan kediaman rakyat dengan pendaftaran bagi fasa pertama dibuka mulai Isnin ini.
– Hampir RM1 bilion disediakan bagi pelaksanaan projek perumahan termasuk Rumah Mesra Rakyat dan Program Residensi Rakyat.
– Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) menyediakan jaminan pembiayaan sehingga RM20 bilion bagi membantu 80,000 individu memiliki rumah pertama.
– Kerajaan bercadang memberikan pengecualian penuh duti setem bagi perjanjian pinjaman dan surat cara pindah milik untuk pembelian rumah pertama berharga sehingga RM500,000.
– Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyediakan RM400 juta bagi mewujudkan kawasan hijau baharu seluas 48.56 hektar, memulihkan taman sedia ada serta menaik taraf kemudahan dan perumahan rakyat.
– Tanah pajakan seluas 40 hektar di Bukit Kiara akan diwartakan sebagai Taman Persekutuan untuk kegunaan orang awam.
– Laluan pejalan kaki berbumbung sepanjang 22 kilometer akan dibina DBKL bagi menghubungkan Masjid Negara, Dataran Merdeka dan Pasar Seni.
– Usaha pemuliharaan bangunan warisan akan memberikan tumpuan kepada Menara Dayabumi, Stesen Kereta Api Kuala Lumpur serta Ibu Pejabat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
– Pengecualian duti hiburan diberikan kepada aktiviti kesenian, kebudayaan, hiburan dan sukan yang diadakan di Stadium Merdeka serta Stadium Negara.-UTUSAN
The post Intipati Belanjawan 2027 appeared first on Utusan Malaysia.






