IPO 99 Speed Mart terlebih langganan sebanyak 3.04 kali
herman
29/08/2024 - 17:10
KUALA LUMPUR 29 Ogos - Pengendali rangkaian pasar mini terbesar di Malaysia, 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd mengumumkan tawaran awam permulaan (IPO) telah terlebih langganan sebanyak 3.04 kali.
Dalam satu kenyataan, syarikat tersebut berkata, 49,354 permohonan untuk 678.58 juta saham IPO telah diterima, menghasilkan kadar melebihi langganan keseluruhan sebanyak 3.04 kali.
Bahagian saham untuk Bumiputera telah terlebih langganan sebanyak 0.54 kali selepas menerima sejumlah 3,731 permohonan untuk 45.37 juta saham baharu.
Ia berkata, baki saham telah dikembalikan dan diagihkan semula kepada pelabur bukan Bumiputera.
Untuk bahagian bukan Bumiputera, sejumlah 45,623 permohonan untuk 633.2 juta saham IPO telah diterima, mewakili kadar melebihi langganan sebanyak 6.54 kali.
Sementara itu, 42 juta saham IPO yang tersedia untuk permohonan oleh individu yang layak telah dilanggan sepenuhnya.
Kumpulan tersebut berkata, harga institusi telah ditetapkan pada RM1.65 setiap saham IPO. Oleh itu, harga runcit akhir juga telah ditetapkan pada RM1.65 setiap saham IPO.
Oleh kerana harga runcit akhir adalah sama dengan harga runcit RM1.65 setiap saham terbitan, tiada pemulangan akan dibuat kepada pemohon yang berjaya di bawah tawaran runcit.
Untuk tawaran institusi, CIMB Investment Bank Bhd telah mengesahkan bahawa 1.21 bilion saham IPO yang ditawarkan kepada pelabur institusi Malaysia dan pelabur terpilih (termasuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh MITI) telah sepenuhnya ditempatkan.
CIMB Investment Bank ialah penasihat utama, pengurus buku tunggal dan penjamin utama, serta penjamin bersama untuk IPO ini, manakala Affin Hwang Investment Bank Bhd dan RHB Investment Bank Bhd adalah penjamin bersama yang lain.
99 Speed Mart akan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities pada 9 September 2024.
IPO ini akan mengumpul dana paling banyak di Bursa Malaysia sejak Julai 2017, apabila Lotte Chemical Titan Holding Bhd mengumpul RM3.77 bilion.
Pada masa ini, 99 Speed Mart mempunyai lebih daripada 2,600 cawangan pasar mini di Malaysia yang menjual pelbagai barangan keperluan pengguna.
Pengurusan menyasarkan untuk meningkatkan bilangan cawangan kepada 3,000 buah menjelang akhir 2025.
Sebanyak 58.9% atau RM389 juta, akan digunakan untuk mengembangkan cawangan baharu 99 Speedmart dan RM100 juta, atau 15.2% untuk menubuhkan pusat pengedaran baharu.
99 Speed Mart akan memperuntukkan 8.3% (RM55 juta) daripada jumlah hasil untuk membeli trak penghantaran dan 7.2% lagi atau RM47.6 juta untuk menaik taraf cawangan sedia ada.
Terakhir, RM45 juta akan digunakan untuk mengurangkan pinjaman sedia ada Kumpulan, manakala baki RM23.4 juta akan digunakan untuk menampung kos penyenaraian. - DagangNews.com



