IPO Express Powerr terlebih langganan 13.55 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE

10/09/2025 - 17:19
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR Sept - Tawaran Awam Permulaan (IPO) Express Powerr Solutions (M) Bhd yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia terlebih langgan sebanyak 13.55 kali.
Kumpulan itu menerima sejumlah 8,338 permohonan bagi 679,946,700 saham terbitan dengan nilai kira-kira RM135.99 juta, mewakili kadar lebihan langganan keseluruhan sebanyak 13.55 kali.
Katanya, bagi bahagian Bumiputera, sebanyak 4,097 permohonan diterima untuk 255,128,300 saham terbitan, mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 9.92 kali manakala bahagian awam, sebanyak 4,241 permohonan dikemukakan untuk 424,818,400 saham terbitan, menghasilkan kadar lebihan langganan sebanyak 17.18 kali.
Sebanyak 18.69 juta saham terbitan yang diperuntukkan untuk permohonan pengarah, pekerja dan individu yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan dilanggan sepenuhnya.
Sementara itu, peruntukan persendirian sebanyak 63.19 juta saham terbitan kepada pelabur terpilih juga dilanggan sepenuhnya.
Selain itu, 51.39 juta saham terbitan dan 65.41 juta saham wawaran kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan MITI juga dilanggan sepenuhnya selepas mengambil kira peruntukan semula yang relevan.
Disokong 20 tahun pengalaman industri, Express Powerr melalui anak syarikatnya membina kehadiran kukuh di Malaysia dengan menyediakan perkhidmatan sewaan penjana kuasa serta membekalkan peralatan sokongan seperti papan agihan, transformer, switchgear dan kabel.
Kumpulan itu memiliki 115 unit penjana dengan kapasiti bermula daripada bawah 250 kilovolt-ampere (kVA) hingga melebihi 500 kVA. Lebih 70% daripadanya merupakan unit penjana mudah alih yang dipasang pada trak untuk memudahkan penghantaran, menjadikannya sesuai bagi membekalkan kuasa kepada pelbagai infrastruktur kritikal.
Pelanggan kumpulan meliputi syarikat utiliti elektrik, sektor mekanikal dan elektrikal, pembuatan, pembinaan, industri acara serta agensi kerajaan. Sejak menjadi vendor yang diluluskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada 2021, Express Powerr memperoleh kontrak perkhidmatan bersama mereka selain turut menyediakan perkhidmatan secara tidak langsung kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
Pengarah Urusan Express Powerr, Lim Cheng Ten berkata, sambutan menggalakkan terhadap IPO kumpulan menunjukkan pelabur mengiktiraf kepentingan peranan yang dimainkan dalam memastikan industri dan komuniti terus mendapat bekalan tenaga tanpa gangguan.
Beliau berkata, fokus mereka adalah untuk sentiasa menyediakan rumusan penjana terbaik dan penyenaraian itu memberi peluang untuk melangkah lebih jauh.
“Hasil daripada penyenaraian itu membolehkan mereka mengukuhkan kekuatan dan meningkatkan operasi, memberikan kapasiti dan fleksibiliti yang lebih besar untuk berkhidmat kepada lebih ramai pelanggan.
"Dengan penambahbaikan ini, kami berada pada kedudukan yang lebih baik untuk merebut peluang masa hadapan, menyokong infrastruktur kritikal serta mewujudkan nilai jangka panjang untuk para pemegang saham dan pelanggan kami," katanya dalam satu kenyataan.
Express Powerr akan disenaraiakn di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 24 September 2025.
Selepas penyenaraian, kumpulan itu akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM186.89 juta berdasarkan harga terbitan 20 sen sesaham dan modal saham terbitan diperbesarkan sebanyak 934.45 juta saham.
Mercury Securities merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal bagi terbitan IPO itu. - DagangNews.com
standard

