Segmen pelekat sumbang 94% hasil GB Bond bagi 1HFY26 sokong prestasi menjelang penyenaraian di Pasaran ACE

LocalBusiness & Finance
17 Sep 2026 • 3:01 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Segmen pelekat sumbang 94% hasil GB Bond bagi 1HFY26 sokong prestasi menjelang penyenaraian di Pasaran ACE Image from: Segmen pelekat sumbang 94% hasil GB Bond bagi 1HFY26 sokong prestasi menjelang penyenaraian di Pasaran ACE amree17/09/2026 - 15:01 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Sept — Segmen pelekat menjadi tunjang utama perniagaan GB Bond Holdings Berhad dengan menyumbang 94% daripada keseluruhan hasil bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026 (1HFY26), ketika ia mencatat pertumbuhan kukuh menjelang penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Berdasarkan makluman syarikat berkenaan kepada Bursa Malaysia, dominasi segmen tersebut turut menyokong peningkatan prestasi pada suku kedua berakhir 30 Jun 2026 (2QFY26), apabila keuntungan selepas cukai (PAT) melonjak 73% suku ke suku (QoQ) kepada RM3.29 juta.

 

Pengeluar pelekat industri itu berkata, hasil 2QFY26 pula meningkat kira-kira 13.3% QoQ kepada RM15.26 juta daripada RM13.54 juta pada suku sebelumnya, manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) melonjak 61.8% QoQ kepada sebanyak RM4.18 juta.

 

"Bagi enam bulan pertama tahun kewangan 2026, GB Bond merekodkan hasil RM28.80 juta, PBT RM6.77 juta dan PAT RM5.19 juta, dengan perniagaan pelekat kekal sebagai penyumbang terbesar kepada pendapatan kumpulan," jelasnya menerusi kenyataan.

 

Pengarah Urusannya, Datuk Gooi Ching Koay berkata, peningkatan prestasi suku kedua mencerminkan momentum jualan yang lebih kukuh dalam segmen pelekat teras, sekali gus menunjukkan daya tahan asas perniagaan yang dibangunkan kumpulan sejak sekian lama.

 

Prestasi itu dicapai sepenuhnya menerusi kapasiti operasi sedia ada sebelum penggunaan dana tawaran awam permulaan (IPO), yang akan digunakan bagi menyokong fasa pengembangan termasuk penambahan pengeluaran, pengukuhan keupayaan formulasi produk serta kehadiran komersial di Vietnam.

 

Dari segi kewangan, GB Bond mencatat aliran tunai bersih daripada aktiviti operasi sebanyak RM4.14 juta bagi 1HFY26, manakala tunai dan baki bank meningkat kepada RM13.52 juta pada 30 Jun 2026 daripada RM10.72 juta pada 31 Disember 2025.

 

GB Bond_DagangNews2026

 

"Jumlah pinjaman dan pembiayaan pula berkurangan kepada RM8.51 juta daripada RM9.29 juta, manakala aset bersih meningkat kepada sebanyak RM41.94 juta berbanding hanya RM36.75 juta pada akhir FY25," jelas kumpulan berkenaan.

 

GB Bond dijangka mengumpul kira-kira RM16.08 juta melalui penerbitan 64.3 juta saham baharu menerusi IPO, dengan RM5.50 juta diperuntukkan untuk fasiliti pengeluaran baharu berhampiran ibu pejabat di Bukit Panchor, Pulau Pinang serta pembelian mesin.

 

Pelaburan itu dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran pelekat industri sebanyak 35.3%, daripada 23,628.9 tan kepada 31,971.3 tan setahun. Sebanyak RM3.50 juta digunakan bagi pengembangan operasi di Vietnam, manakala RM900,000 untuk menaik taraf peralatan formulasi produk dan ujian teknikal.

 

Beroperasi sejak 2000, GB Bond mengeluarkan pelekat industri berasaskan air, polimer emulsi dan bahan pengedap tersuai yang digunakan dalam industri kertas dan pembungkusan, kerja kayu, laminasi fabrik serta bahan renovasi dan binaan. 

 

"Kumpulan mempunyai 1,146 pelanggan pada FY25 dengan kadar pelanggan berulang sebanyak 77%. Dengan harga IPO ditetapkan 25 sen sesaham, GB Bond akan mempunyai anggaran permodalan pasaran RM103.08 juta selepas disenaraikan," tambahnya lagi.

 

Kumpulan bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 1 Oktober 2026. Malacca Securities Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO tersebut. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved