liza22/09/2026 - 10:28 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 22 Sept – SLGC Berhad bakal memasuki Pasaran ACE dengan tempahan projek pembinaan belum dibilkan bernilai RM999.6 juta, memberikan syarikat keterlihatan pendapatan bagi tempoh sekitar tiga hingga lima tahun akan datang, menurut TA Research.
Firma penyelidikan itu berkata, jumlah tempahan projek setakat 12 Ogos 2026 itu bersamaan 3.1 kali hasil syarikat bagi tahun kewangan 2025 (FY2025) dan menjadi antara faktor utama yang menyokong prospek pertumbuhan SLGC selepas penyenaraian.
SLGC ialah kontraktor pembinaan gred G7 Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang mempunyai pengalaman lebih 17 tahun dalam industri pembinaan.
Syarikat itu terlibat dalam pembinaan projek kediaman dan bukan kediaman, termasuk rumah bertanah, kediaman bertingkat tinggi, bangunan komersial serta projek perindustrian seperti kilang, gudang dan sekolah.
Daripada jumlah tempahan projek RM999.6 juta itu, sebanyak 98.5% terdiri daripada projek kediaman manakala baki 1.5% melibatkan projek komersial dan perindustrian.
Tempahan hampir RM1 bilion jadi pemacu pertumbuhan
TA Research berkata tempahan projek yang besar itu memberikan SLGC asas untuk mengekalkan pertumbuhan hasil dalam beberapa tahun akan datang, selain memberi ruang kepada syarikat untuk terus mendapatkan projek baharu bagi menggantikan tempahan yang telah dilaksanakan.
SLGC mempunyai rekod lebih 17 tahun dalam industri pembinaan dan telah menyiapkan lebih 10 projek dengan nilai kontrak keseluruhan melebihi RM1 bilion.
Syarikat itu bermula sebagai subkontraktor bagi projek pembinaan bangunan dan kejuruteraan awam berskala kecil di Johor sebelum mengembangkan operasi ke Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur.
Sepanjang tempoh itu, keupayaan SLGC berkembang daripada projek berskala kecil kepada pembangunan kediaman bertanah dan bertingkat tinggi serta projek komersial dan perindustrian.
TA Research berkata rekod pelaksanaan projek serta keupayaan SLGC mengendalikan pelbagai jenis pembangunan membolehkan syarikat bersaing bagi mendapatkan lebih banyak projek pembinaan.
ARTIKEL BERKAITAN: SLGC tetapkan harga IPO 28 sen dengan sasaran raih RM29.4 juta di Pasaran ACE
Keuntungan dijangka meningkat hingga RM23.7 juta
Dari segi kewangan, hasil SLGC meningkat 51.5% daripada RM213.9 juta pada FY2023 kepada RM324 juta pada FY2025.
Keuntungan bersih teras pula meningkat daripada RM8.4 juta kepada RM15 juta dalam tempoh sama, walaupun margin keuntungan kasar agak sederhana pada FY2025 susulan sumbangan lebih tinggi daripada projek kediaman yang mempunyai margin lebih rendah.
TA Research mengunjurkan keuntungan bersih teras meningkat kepada RM16.2 juta pada FY2026, RM19.6 juta pada FY2027 dan RM23.7 juta pada FY2028.
Unjuran itu berdasarkan pertumbuhan hasil tahunan sebanyak 25% pada FY2026, 22% pada FY2027 dan 20% pada FY2028, dengan margin keuntungan bersih teras diunjurkan sebanyak 4% bagi setiap tahun.
Bagi menyokong pengembangan projek, SLGC merancang membelanjakan RM9.24 juta untuk membeli mesin dan peralatan pembinaan termasuk acuan aluminium serta lif pengangkut pekerja.
IPO RM29.4 juta turut kurangkan hutang
SLGC menawarkan 105 juta saham baharu dan 63 juta saham untuk jualan oleh pemegang saham sedia ada pada harga 28 sen sesaham, yang memberikan nilai pasaran sekitar RM156.8 juta selepas penyenaraian.
Daripada RM29.4 juta hasil kasar IPO, RM9.2 juta akan digunakan untuk membeli mesin dan peralatan pembinaan, RM7.6 juta bagi membayar balik pinjaman bank dan RM7.5 juta untuk modal kerja.
Baki RM500,000 diperuntukkan bagi menaik taraf perisian pengurusan pembinaan, manakala RM4.6 juta digunakan untuk kos penyenaraian.
Penggunaan sebahagian dana IPO bagi pembayaran hutang dijangka mengurangkan nisbah hutang bersih kepada ekuiti SLGC daripada 1.6 kali sebelum IPO kepada 0.2 kali selepas penyenaraian.
TA Research menetapkan nilai wajar SLGC pada 28 sen sesaham, sama dengan harga IPO, berdasarkan nisbah harga kepada keuntungan sasaran sebanyak 8 kali terhadap unjuran keuntungan sesaham FY2027. - DagangNews.com






