amree18/09/2026 - 16:44 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Sept — MMIS Berhad menyasarkan untuk mengumpul RM50.32 juta menerusi terbitan tawaran awam permulaan (IPO) bagi menyokong rancangan pengembangan perniagaan termasuk RM23 juta bagi pembinaan kilang baharu susulan pemulihan permintaan dalam industri semikonduktor.
Dalam pekeliling kepada pemegang saham bertarikh 18 September 2026, pembekal komponen kejuruteraan tersebut berkata, cadangan berkenaan merupakan sebahagian daripada rancangan pemindahan penyenaraiannya daripada Pasaran LEAP ke Pasaran ACE Bursa Malaysia pada tahun depan.
Menurut maklumannya kepada bursa, cadangan tersebut bagaimanapun akan dibentangkan untuk menerima kelulusan pemegang saham dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) kumpulan berkenaan yang dijadualkan pada 12 Oktober 2026 di Pusing, Perak.
"MMIS merancang untuk menerbitkan sejumlah 148 juta saham baharu pada harga indikatif sebanyak 34 sen sesaham, yang dijangka dapat menghasilkan dana kasar sehingga RM50.32 juta," katanya.
Daripada jumlah tersebut, RM23 juta atau 45.71% akan digunakan bagi pembinaan kilang pengeluaran yang baharu di Perak, manakala sebanyak RM14 juta atau 27.82% diperuntukkan untuk tujuan pembelian mesin dan peralatan termasuk pusat pemesinan CNC 'double colum'.
Sebanyak RM8.57 juta lagi akan digunakan sebagai modal kerja, sementara baki RM4.75 juta diperuntukkan untuk membiayai anggaran kos berkaitan penyenaraian di Pasaran ACE.

Pada masa sama, cadangan pemindahan penyenaraian itu turut melibatkan tawaran keluar pada harga indikatif 34 sen sesaham oleh pemegang saham utama untuk mengambil alih baki 90.30 juta saham, bersamaan 15.05% kepentingan ekuiti yang belum dimiliki mereka.
"Harga tawaran tersebut mewakili premium kira-kira 70% berbanding harga rujukan terakhir saham kumpulan berkenaan sebanyak RM0.20 pada 22 Oktober 2025 di Pasaran LEAP," jelasnya.
Cadangan pengembangan itu hadir ketika prestasi kewangan MMIS menunjukkan peningkatan ketara apabila keuntungan bersih selepas cukai (PAT) belum diaudit melonjak 236.23% kepada RM16.61 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, berbanding RM4.94 juta setahun sebelumnya.
Hasil bagi tempoh sama meningkat kira-kira 94.31% kepada RM62.51 juta, didorong pemulihan industri semikonduktor serta peningkatan pesanan daripada pelanggan utama dalam sektor berkenaan.
Menurut syarikat, penasihat bebas Sierac Corporate Advisers Sdn Bhd menilai cadangan pemindahan penyenaraian sebagai adil dan munasabah, manakala Kenanga Investment Bank Berhad bertindak sebagai penasihat utama dan penaja bagi tujuan tersebut.
"Jika semua kelulusan diperoleh, penyenaraian sebanyak 748 juta saham MMIS di Pasaran ACE dijangka dapat diselesaikan menjelang suku pertama 2027," katanya. - DagangNews.com






