IPO Pasaran ACE: NWE Resources meterai perjanjian taja jamin dengan KAF Investment Bank

LocalBusiness & Finance
24 Aug 2026 • 2:06 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

IPO Pasaran ACE: NWE Resources meterai perjanjian taja jamin dengan KAF Investment Bank Image from: IPO Pasaran ACE: NWE Resources meterai perjanjian taja jamin dengan KAF Investment Bank liza24/08/2026 - 14:06 Di bawah perjanjian itu, KAF IB akan menjamin sebanyak 37.8 juta saham, merangkumi saham yang diperuntukkan kepada orang awam Malaysia dan Peruntukan Borang Merah Jambu Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Ogos – NWE Resources Group Berhad, penyedia kelengkapan hotel, produk penjagaan diri dan makanan kesihatan menandatangani perjanjian taja jamin dengan KAF Investment Bank Berhad (KAF IB) menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.

 

Tawaran awam permulaaan (IPO) itu melibatkan penerbitan 143.15 juta saham biasa baharu, bersamaan 26.5% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan kepada 540 juta saham selepas penyenaraian.

 

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 27 juta saham akan ditawarkan kepada orang awam Malaysia melalui proses pengundian manakala 10.8 juta saham diperuntukkan kepada pengarah, pekerja dan individu yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan melalui Peruntukan Borang Merah Jambu.

 

Baki 105.35 juta saham pula akan ditempatkan kepada pelabur terpilih melalui penempatan persendirian.

 

Di bawah perjanjian itu, KAF IB akan menjamin sebanyak 37.8 juta saham, merangkumi saham yang diperuntukkan kepada orang awam Malaysia dan Peruntukan Borang Merah Jambu.

 

Kumpulan itu turut menjalankan sendiri proses pengeluaran, pembungkusan semula serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang membolehkannya menghasilkan produk dan formulasi sendiri mengikut keperluan pelanggan.

 

NWE Resources mempunyai pengalaman selama 39 tahun dalam membekalkan barangan keperluan hotel dan 30 tahun mengendalikan program pemasaran berbilang peringkat (MLM) M-Plan yang mengukuhkan rekod perniagaan serta rangkaiannya untuk terus berkembang.

 

Pengerusi Bebas NWE Resources, Yang Amat Mulia Tunku Panglima Besar Tunku Dato' Seri Zain Al-'Abidin ibni Tuanku Muhriz berkata pemeteraian perjanjian berkenaan membawa kumpulan itu selangkah lebih dekat ke pasaran awam.

 

Modal Untuk Perluasan Perniagaan

Menurut beliau, penyenaraian di Bursa Malaysia turut membawa tanggungjawab untuk memenuhi piawaian lebih tinggi dari segi tadbir urus, ketelusan dan akauntabiliti.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan NWE Resources, Tan Hong Huat berkata hasil yang bakal diperoleh daripada IPO akan digunakan untuk mempercepatkan pembangunan produk baharu, memperluas keupayaan R&D, meningkatkan operasi pengeluaran dan mengukuhkan capaian pasaran.

 

Beliau berkata prospek kumpulan itu turut disokong oleh Tahun Melawat Malaysia 2026 sehingga akhir 2027, yang dijangka membantu mengekalkan ketibaan pelancong dan kadar penghunian hotel.

 

Perkembangan itu dijangka menyokong permintaan berulang terhadap kemudahan hotel yang dibekalkan NWE Resources.

 

Kumpulan itu mempunyai pelanggan terdiri daripada pelbagai hotel dan resort di seluruh negara termasuk segmen hotel empat dan lima bintang.

 

Fokus Pasaran Pengguna Dan Makanan Kesihatan

Bagi segmen pengguna pula, rangkaian pengedaran M-Plan membolehkan produk NWE Resources dipasarkan secara terus kepada pengguna akhir.

 

Tan Hong Huat berkata produk penjagaan diri yang merupakan barangan kegunaan harian mempunyai potensi pembelian berulang manakala produk makanan kesihatan pula mendapat sokongan daripada peningkatan kesedaran terhadap aspek kesihatan dalam kalangan pengguna Malaysia.

 

KAF IB bertindak sebagai penasihat utama, penaja dan ejen penempatan bagi IPO NWE Resources dengan penyenaraian kumpulan itu di Pasaran ACE Bursa Malaysia disasarkan pada suku keempat 2026. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved