IPT pantau latihan industri, mahu elak pelajar dieksploitasi

4 Aug 2026 • 11:39 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: IPT pantau latihan industri, mahu elak pelajar dieksploitasi

PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi jaminan aspek keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan pelajar sentiasa menjadi keutamaan sepanjang menjalani latihan industri bagi mengelakkan sebarang bentuk eksploitasi.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd. Halim berkata, semua universiti diwajibkan mematuhi garis panduan latihan industri selain melaksanakan beberapa mekanisme pemantauan terhadap pelajar.

Menurutnya, sebelum ditempatkan di organisasi, pelajar diwajibkan mengikuti taklimat dan kursus persediaan yang merangkumi aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP), pengurusan risiko, penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE), prosedur kecemasan, hak serta tanggungjawab pelajar.

“Universiti juga melaksanakan pemilihan serta penilaian terhadap organisasi latihan industri berdasarkan kesesuaian bidang pengajian, skop tugasan, persekitaran kerja dan komitmen majikan terhadap amalan keselamatan. Bagi bidang berisiko tinggi, hanya organisasi yang memenuhi keperluan keselamatan serta mempunyai sistem pengurusan keselamatan yang sesuai akan dipilih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Prof. Emeritus Dr. Mohammad Redzuan Othman di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata, pelajar turut dipantau secara berterusan oleh penyelia akademik dan penyelia industri menerusi lawatan fizikal atau dalam talian, semakan laporan kemajuan serta komunikasi berkala bagi memastikan sebarang isu dapat ditangani segera.

Selain itu, katanya, pelajar yang menjalani latihan dalam sektor berisiko tinggi diwajibkan mengikuti kursus atau pensijilan keselamatan berkaitan sebelum memulakan latihan, selain dilindungi di bawah Skim Perlindungan Insurans Berkelompok Universiti sepanjang tempoh latihan industri.

Adam Adli berkata, pelaksanaan langkah-langkah tersebut membuktikan komitmen KPT dan institusi pendidikan tinggi untuk memastikan latihan industri berlangsung dalam persekitaran yang selamat, kondusif dan beretika tanpa berlaku eksploitasi terhadap pelajar. – KOSMO! ONLINE

The post IPT pantau latihan industri, mahu elak pelajar dieksploitasi appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved