Institusi pendidikan tinggi (IPT) diberi kuasa untuk menarik balik penempatan latihan industri serta memanggil semula pelajar sekiranya mendapati terdapat risiko keselamatan yang perlu dielakkan.
Tindakan dibuat berdasarkan penilaian pihak IPT
Memetik laporan daripada Bernama, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim menyatakan tindakan itu boleh dibuat berdasarkan penilaian pihak IPT atau laporan daripada pelajar yang menunjukkan keperluan untuk mengambil langkah pencegahan segera.
“Kita tentu sekali kesal apabila berlaku sebarang kemalangan melibatkan pelajar yang mengikuti latihan industri.
“Sebab itu kita sentiasa mantapkan terutama sekali dari sudut pemantauan dan pelaporan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Bagi memastikan syarikan penyediaan latihan mematuhi standard
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Che Alias Hamid mengenai mekanisme pemantauan bagi memastikan syarikat penyedia latihan mematuhi standard keselamatan susulan kejadian seorang pelajar latihan industri Universiti Putra Malaysia (UPM) meninggal dunia akibat lemas ketika menjalankan kerja penyelenggaraan di Kolam Menara Saujana 1, Kuala Selangor pada 16 Jun lalu.
Menurut Adam Adli, universiti juga perlu melakukan tapisan lebih ketat terhadap rekod keselamatan, laporan terdahulu serta reputasi organisasi sebelum meluluskan mana-mana penempatan latihan industri.
“Bagi bidang berisiko tinggi, hanya organisasi yang memenuhi keperluan keselamatan dan mempunyai sistem pengurusan keselamatan yang sesuai dipilih sebagai lokasi untuk latihan industri bagi pelajar-pelajar kita,” katanya.

Tambah beliau, pelajar yang terlibat dalam program berisiko tinggi turut diwajibkan mengikuti kursus atau memperoleh pensijilan keselamatan berkaitan sebelum dibenarkan menjalani latihan industri.
Jelasnya, pelajar juga perlu melalui sesi taklimat dan kursus persediaan meliputi aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan, pengurusan risiko, penggunaan peralatan perlindungan diri, prosedur kecemasan serta saluran pelaporan insiden.
Sepanjang tempoh latihan industri, keselamatan pelajar akan dipantau secara berkala oleh penyelia akademik dan penyelia industri menerusi lawatan fizikal atau dalam talian, selain semakan laporan kemajuan serta komunikasi berkala.
Adam Adli turut memaklumkan semua pelajar yang menjalani latihan industri dilindungi di bawah Skim Perlindungan Insurans Berkelompok Universiti sekiranya berlaku kemalangan atau kejadian tidak diingini sepanjang tempoh latihan.
Sumber: Bernama





