
PETALING JAYA: Kualiti udara di Sarawak semakin buruk apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Serian, Sarawak melonjak kepada 436 setakat pukul 6 petang ini.
Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), bacaan tersebut meningkat berbanding 420 yang direkodkan pada pukul 1 tengah hari tadi.
Dua lagi kawasan yang kekal berada pada tahap berbahaya ialah Samarahan dengan bacaan IPU 337 dan Kuching (321).
Bacaan di Kuching turut meningkat berbanding 308 pada pukul 1 tengah hari tadi manakala Samarahan kekal pada bacaan sama.
Sri Aman pula merekodkan bacaan IPU 260, meningkat daripada 235, manakala Sarikei turut merosot daripada tahap tidak sihat kepada sangat tidak sihat dengan bacaan 210.
Sebanyak 50 stesen pula mencatatkan bacaan IPU pada tahap sederhana.
Bacaan IPU antara sifar hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana dan 101 hingga 200 tidak sihat.
Bacaan antara 201 hingga 300 pula dikategorikan sebagai sangat tidak sihat, manakala IPU melebihi 300 berada pada tahap berbahaya. – UTUSAN
The post IPU Serian terus meningkat, kini cecah 436 appeared first on Utusan Malaysia.






