
PETALING JAYA – Bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di Serian, Sarawak melonjak kepada 447, manakala Kuching turut merekodkan bacaan 315, sekali gus berada pada tahap bahaya.
Berdasarkan kemas kini Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan di Serian menunjukkan peningkatan ketara berbanding 412 yang direkodkan kira-kira pukul 12.45 tengah hari tadi.
Kuching pula meningkat daripada bacaan 304 kepada 315, manakala Samarahan turut berada pada tahap bahaya dengan bacaan melebihi 300.
Terdahulu, Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menasihatkan penganjur acara supaya menilai keadaan jerebu dan bacaan IPU sebelum memutuskan sama ada meneruskan, menangguhkan atau membatalkan aktiviti luar.
Katanya, keadaan jerebu di Sarawak dijangka berterusan dalam beberapa hari akan datang susulan peningkatan titik panas serta pergerakan asap rentas sempadan dari Kalimantan Barat ke bahagian barat Sarawak.
Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak dilaporkan berkata, sebanyak 12,888 titik panas dikesan di Kalimantan bagi tempoh 1 hingga 29 Ogos berbanding 185 titik panas di Sarawak.
Pemantauan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) turut mengesan kepulan asap sederhana hingga tebal dari Kalimantan Barat bergerak ke arah utara memasuki Sarawak. – KOSMO! ONLINE
The post Jerebu: IPU di Serian meningkat cecah 447 appeared first on Kosmo Digital.






