Tutup Sekolah, Tabika Jika IPU Melebihi 200 - JAS

LocalEnvironment
30 Aug 2026 • 4:34 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Tutup Sekolah, Tabika Jika IPU Melebihi 200 - JAS

KUALA LUMPUR - Sekolah, tabika dan pusat penjagaan kanak-kanak perlu ditutup serta-merta sekiranya bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 200, kata Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JAS, Azuri Azizah Saedon berkata, semua institusi pendidikan dan pusat penjagaan kanak-kanak perlu memantau bacaan IPU secara berterusan serta membuat persediaan awal sekiranya bacaan menghampiri paras berkenaan.

“Sekiranya trend bacaan menunjukkan peningkatan menuju 200, persediaan perlu dibuat lebih awal untuk menutup sekolah, tabika dan pusat penjagaan kanak-kanak yang terjejas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua aktiviti luar juga perlu dihentikan apabila bacaan IPU melebihi 100.

Menurutnya, langkah berkenaan adalah selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan yang dilaksanakan secara bersama oleh kementerian dan agensi berkaitan bagi menguruskan situasi jerebu.

“JAS melalui Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan sentiasa memantau kualiti udara dan langkah yang diambil adalah berdasarkan pelan berkenaan.

“Pada masa sama, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah, negeri atau Persekutuan apabila IPU melebihi 150 selama lebih 24 jam,” katanya.

Azuri berkata, operasi pembenihan awan turut akan dilaksanakan tertakluk kepada keadaan litupan awan dan cuaca yang sesuai sekiranya bacaan IPU kekal melebihi 150 selama lebih 24 jam.

Beliau berkata, JAS bersama agensi yang terlibat dalam pengurusan jerebu akan terus bertindak segera berdasarkan langkah yang ditetapkan di bawah Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.

Mengikut klasifikasi JAS, bacaan IPU antara sifar hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 dikategorikan sebagai berbahaya.

Setakat 12.30 tengah hari ini, data JAS menerusi Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) menunjukkan Serian merekodkan bacaan IPU 412, diikuti Samarahan (332) dan Kuching (304), yang kesemuanya berada pada tahap berbahaya.

Sri Aman pula merekodkan bacaan IPU 228, iaitu pada tahap sangat tidak sihat.

Beberapa kawasan lain turut merekodkan bacaan tidak sihat, termasuk Sarikei dengan IPU 197, Sibu (190), Bintulu (183), Mukah (176), Samalaju (175), Kapit (161), Miri (159) dan ILP Miri (156).

JAS terus memantau kualiti udara menerusi APIMS susulan keadaan jerebu yang semakin buruk.

Keadaan kualiti udara yang semakin merosot meningkatkan risiko kesihatan, terutama kepada golongan seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan.

Golongan berkenaan dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga dan mengehadkan pendedahan kepada udara tercemar. - Getaran, 30 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved