
SERDANG: Operasi pembenihan awan sedang dilaksanakan di kawasan yang dilanda jerebu khususnya lokasi yang merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 150.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, operasi itu dilaksanakan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Pihak NADMA dengan kerjasama Met Malaysia dan TUDM sedang melaksanakan operasi pembenihan awan di kawasan-kawasan yang dilanda jerebu.
“Operasi ini terutama dilaksanakan di kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 150, khususnya kawasan yang mencapai tahap 200,” katanya selepas merasmikan Laman Usahawan Desa di Laman Tiba 1 sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) hari ini.
Sebagai rekod roses pembenihan awan itu sudah dilaksanakan di Putrajaya manakala Sarawak, Kedah dan Perlis pada 3 hingga 5 September ini.
Ahmad Zahid berkata, operasi pembenihan hujan itu turut diperlukan berikutan terdapat beberapa empangan yang menunjukkan kemerosotan paras air, sekali gus memerlukan langkah bagi meningkatkan taburan hujan di kawasan bersesuaian.
Katanya, pelaksanaan operasi pembenihan awan bukan sahaja bergantung kepada keperluan di sesuatu kawasan malah mengambil kira faktor cuaca dan kesesuaian keadaan atmosfera bagi memastikan operasi berkenaan dapat dilaksanakan secara berkesan.
Setakat pukul 1 tengah hari tadi, tiga kawasan di Sarawak merekodkan kualiti udara pada tahap berbahaya dengan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di Serian mencecah 420.
Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), dua lagi kawasan yang mencatatkan bacaan berbahaya ialah Samarahan dengan IPU 337 dan Kuching (308). – UTUSAN
The post Operasi pembenihan awan dilaksana di kawasan catat IPU tidak sihat appeared first on Utusan Malaysia.






