IPU tiga kawasan di Terengganu lepasi 150

LocalEnvironment
15 Sep 2026 • 11:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: IPU tiga kawasan di Terengganu lepasi 150
Kualiti udara di Terengganu terus merosot apabila tiga stesen pemantauan mencatatkan bacaan IPU melebihi 150 setakat jam 8 pagi Selasa.

KUALA TERENGGANU - Kualiti udara di Terengganu terus merosot apabila tiga stesen pemantauan mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 150 setakat jam 8 pagi Selasa.

​Paka merekodkan bacaan tertinggi iaitu 157, diikuti Kemaman (156) dan Kuala Terengganu (153), sekali gus meletakkan kesemua kawasan berkenaan berada dalam kategori Tidak Sihat.

​Berdasarkan paparan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi tarikh 15 September 2026, bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai Tidak Sihat, manakala 201 hingga 300 adalah Sangat Tidak Sihat dan melebihi 300 berada pada paras Berbahaya.

​Perkembangan tersebut menunjukkan kemerosotan kualiti udara berlaku secara serentak di beberapa bahagian negeri ini, di mana Paka yang mencatatkan sekitar 147 pada awal pagi meningkat kepada 157 pada jam 8 pagi, manakala Kemaman dan Kuala Terengganu kekal pada paras melebihi 150.

​Pakar Kualiti Udara Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Madya Dr Azman Azid berkata, corak peningkatan serentak itu perlu diberi perhatian kerana ia memberi isyarat awal mengenai pengaruh pengangkutan pencemar pada skala lebih luas, selain kemungkinan sumbangan sumber tempatan.

​"Kita tidak boleh melihat satu stesen sahaja. Apabila Paka, Kemaman dan Kuala Terengganu berada melebihi IPU 150 pada waktu yang sama, pola ruang dan masa pencemaran itu menjadi sangat penting untuk dianalisis.

​"Ia memberi isyarat bahawa kita perlu melihat faktor meteorologi dan pengangkutan pencemar serantau, bukan sekadar sumber pencemaran setempat," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

​Menurut Azman, zarah halus PM2.5 perlu diberikan perhatian khusus dalam episod jerebu kerana zarah berkenaan boleh kekal di atmosfera serta bergerak pada jarak jauh bergantung kepada keadaan angin dan cuaca.

​Jelas beliau, paparan dan output Malaysian Community Air Quality Model (MyCMAQ) juga wajar dinilai bersama bacaan IPU semasa bagi membantu menunjukkan taburan serta kemungkinan pergerakan pencemar atmosfera di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

​"Berdasarkan rujukan kepada MyCMAQ dan keadaan pencemaran serantau, terdapat kemungkinan episod yang kita lihat mempunyai komponen pengangkutan pencemar rentas sempadan. Kemungkinan itu tidak boleh diketepikan, khususnya apabila beberapa stesen di Pantai Timur menunjukkan peningkatan dalam tempoh yang hampir sama.

​"Namun, kita tidak seharusnya terus membuat kesimpulan bahawa pencemaran yang berada di Terengganu pagi ini datang sepenuhnya dari Indonesia hanya berdasarkan satu model atau bacaan IPU," katanya.

​Mengulas lanjut, beliau berkata, penentuan sumber perlu disokong dengan beberapa lapisan bukti termasuk lokasi dan bilangan titik panas di Sumatera serta Kalimantan, imej satelit kepulan asap, arah dan kelajuan angin, keadaan meteorologi serta analisis backward trajectory bagi menjejaki laluan jisim udara sebelum sampai ke Pantai Timur Semenanjung.

​"Sekiranya hotspot, arah angin, imej satelit, backward trajectory dan MyCMAQ menunjukkan pola yang konsisten, barulah kita mempunyai asas saintifik yang lebih kukuh untuk mengatakan terdapat sumbangan jerebu rentas sempadan," ujarnya.

​Tambah beliau, perkembangan berkenaan turut memperlihatkan kepentingan mengintegrasikan data APIMS JAS, MyCMAQ, data titik panas satelit, meteorologi dan analisis trajektori dalam satu sistem komunikasi risiko yang mudah difahami masyarakat.

​"IPU memberitahu kita keadaan udara sekarang. Model ramalan pula sepatutnya membantu kita menjangka apa yang mungkin berlaku dalam tempoh 24, 48 atau 72 jam akan datang.

​"Sekiranya maklumat ini dapat diterjemahkan kepada amaran risiko yang mudah difahami, sekolah, hospital, pihak berkuasa tempatan dan masyarakat boleh membuat persediaan lebih awal, bukannya hanya bertindak apabila IPU sudah berada pada paras tinggi," katanya.

​Sehubungan itu, orang ramai khususnya kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai penyakit jantung atau pernafasan disaran mengurangkan aktiviti fizikal berat dan berpanjangan di luar serta terus memantau bacaan IPU semasa melalui APIMS JAS.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved