Ireka tolak penamatan kontrak RM1.07 bilion Pan Borneo Sabah, pertimbang tindakan undang-undang

LocalBusiness & Finance
29 Jul 2025 • 9:20 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ireka tolak penamatan kontrak RM1.07 bilion Pan Borneo Sabah, pertimbang tindakan undang-undang

image is not available

29/07/2025 - 09:20

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 29 Julai – Ireka Corporation Bhd menolak cadangan untuk menamatkan kontrak sub-kontrak bernilai RM1.07 bilion bagi kerja menaik taraf Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B selepas pihak utama projek gagal mendapatkan pembiayaan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, anak syarikat milik penuh kumpulan itu, Shoraka Construction Sdn Bhd (SCSB), menerima notis bertarikh 8 Julai 2025 daripada Gammerlite Sdn Bhd (GSB) bagi mencadangkan penamatan Surat Anugerah (LOA) bagi Pakej Kerja WP33, melibatkan laluan dari Kampung Lumou Baru ke Kampung Toupus.

Cadangan itu dibuat selepas perjanjian projek antara GSB dan kontraktor utama, MTD Construction Sdn Bhd, ditamatkan kerana GSB gagal mendapatkan pembiayaan sebelum tarikh akhir pada 30 Jun lalu.

Bagaimanapun, Ireka dalam maklum balasnya menegaskan pihaknya tidak bersetuju dengan penamatan tersebut dalam bentuk yang dicadangkan kerana terdapat sebahagian skop kerja yang telah pun disempurnakan.

“Notis penamatan yang dikemukakan oleh GSB juga tidak menyentuh mengenai penyelesaian pembayaran untuk kerja yang telah dilaksanakan serta obligasi-obligasi lain yang berkaitan,” katanya.

Sehubungan itu, kumpulan tersebut telah menyatakan bantahan rasmi dan sedang mendapatkan nasihat perundangan untuk menilai hak dan opsyen remedi yang tersedia.

Ireka turut menegaskan ia mengekalkan semua hak di bawah LOA dan undang-undang yang terpakai, termasuk hak menuntut semula kos yang telah ditanggung.

Setakat ini, kira-kira RM10 juta hasil dan RM1 juta keuntungan telah diiktiraf berdasarkan kemajuan fizikal projek sekitar 1%.

Kesan kewangan keseluruhan kepada kumpulan masih belum dapat dipastikan dan bergantung bagaimana pertikaian itu diselesaikan.

“Ireka komited mencari penyelesaian yang adil dan sedang mengurus komunikasi dengan pihak berkepentingan bagi mengurangkan risiko terhadap reputasi,” kata syarikat itu. - DagangNews.com

standard