Yinson kukuh penguasaan di Vietnam, tandatangani kontrak FSO baharu RM2.5 bilion

29/07/2025 - 10:10
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 29 Julai – Yinson Holdings Bhd terus memperkukuh kedudukannya sebagai pemain utama dalam industri minyak & gas luar pesisir global selepas meraih kontrak baharu bernilai AS$600 juta (RM2.5 bilion) di Vietnam.
Kontrak selama 14 tahun itu melibatkan penyediaan dan pengoperasian kapal simpanan dan pemunggahan terapung (FSO) di lapangan gas Blok B, luar pesisir selatan Vietnam.
Yinson berkata, kontrak itu turut merangkumi pilihan lanjutan selama sembilan tahun, menjadikan jumlah potensi nilai keseluruhan kekal kompetitif dalam landskap tenaga global.
“Perjanjian itu dimeterai menerusi usaha sama Yinson dengan PetroVietnam Technical Services Corporation (PTSC) di bawah entiti PTSC South East Asia Pte Ltd (PTSC SEA).
“Yinson memiliki 49% kepentingan dalam syarikat usaha sama berkenaan,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Kontrak ini dianugerahkan oleh Phu Quoc Petroleum Operating Company (PQPOC), operator projek yang ditubuhkan PetroVietnam khusus bagi melaksanakan pembangunan infrastruktur gas untuk tiga wilayah utama di Vietnam.
Dengan FSO baharu ini, Yinson kini mengendalikan 11 unit dalam armada produksinya, satu pencapaian penting yang mencerminkan kemampuan teknikal dan komersial syarikat dalam pasaran luar pesisir ASEAN.
Yinson berkata, FSO tersebut dijangka menghasilkan pengeluaran kondensat (sejenis cecair hidrokarbon ringan) yang pertama pada suku ketiga 2027.
“Ini bukan kali pertama Yinson menjalin kerjasama strategik di Vietnam. Pada November 2024, usaha sama lain iaitu PTSC Asia Pacific telah menerima kontrak AS$416 juta untuk projek Lac Da Vang milik Murphy Oil.
“Selain itu, FPSO PTSC Lam Son yang juga dimiliki bersama PTSC telah pun dilanjutkan sehingga Jun 2026 dengan kontrak bernilai AS$36.2 juta, menjadikan operasi di Vietnam antara yang paling konsisten dalam portfolio Yinson,” katanya.
Rekod prestasi yang berterusan di pasaran Vietnam memberi kelebihan strategik kepada Yinson dalam mengekalkan margin operasi dan aliran tunai mampan, sekali gus menyokong pelan pertumbuhan jangka panjang kumpulan.
Langkah ini juga dilihat memperkukuh sumbangan unit luar pesisir kepada prestasi kewangan kumpulan, sejajar dengan usaha memperluas kehadiran dalam pasaran tenaga global yang semakin kompetitif. - DagangNews.com
standard

