
PETALING JAYA: Hasrat skuad hoki kebangsaan untuk memburu kemenangan pertama dalam kempen Piala Dunia 2026 terus menemui jalan buntu apabila dibelasah 7-4 oleh Ireland dalam aksi klasifikasi Kumpulan H di Arena Hoki Belfius, Wavre, hari ini.
Ireland membuka tirai jaringan seawal minit kelapan menerusi pukulan padang Jonathan Lynch sebelum dia menggandakan jaringan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-12.
Matthew Nelson kemudian melebarkan jurang buat Ireland pada minit ke-19 sebelum Lynch melengkapkan hatriknya pada minit ke-24 bagi meletakkan Ireland selesa 4-0 di hadapan.
Malaysia bagaimanapun enggan mengalah dan mula bangkit menerusi jaringan Azimuddin Syakir Kamaruddin pada minit ke-29 hasil pukulan sudut penalti, sebelum Amirul Hamizan Azahar menyudahkan satu lagi peluang menerusi pukulan sudut penalti tujuh minit kemudian untuk merapatkan jurang.
Kebangkitan skuad negara bagaimanapun sekali lagi disekat Ireland apabila John McKee menjaringkan gol pada minit ke-37, diikuti jaringan Azrai Aizad Abu Kamal buat Malaysia empat minit kemudian menjadikan kedudukan 5-3.
Ireland terus menambah derita Malaysia menerusi jaringan Benjamin Walker pada minit ke-54, namun Faizal Saari sempat mencuri tumpuan apabila menjaringkan gol seminit kemudian bagi melengkapkan jaringan Malaysia kepada empat gol.
Selepas ini, Malaysia dijadualkan bertemu Afrika Selatan pada Ahad ini apabila kemenangan menjadi buruan bagi menamatkan kempen dengan nota positif. – UTUSAN
The post Ireland belasah Malaysia 7-4 appeared first on Utusan Malaysia.



