
PETALING JAYA: Kekalahan 1-5 kepada Jerman perlu segera dilupakan Speedy Tigers apabila skuad negara berdepan Perancis dalam aksi kedua Kumpulan B Piala Dunia Hoki 2026, di Arena Hoki Belfius, Belgium, malam ini.
Kekalahan itu bukan sahaja menyaksikan Malaysia gagal mengutip mata, malah mengulangi kekecewaan ketika dibelasah 1-10 oleh Jerman pada pertemuan dua tahun lalu.
Ketua jurulatih negara, Brendon Carolan mengakui Speedy Tigers gagal mempamerkan kemampuan sebenar ketika berdepan juara dunia itu, namun melihat beberapa perkembangan positif selepas pasukan memperbaiki permainan pada suku kedua dan ketiga.
“Kami kecewa kerana sebenarnya kami boleh bermain lebih baik, terutama apabila sudah lama tidak berdepan pasukan kelompok lima terbaik dunia dan kami terlalu perlahan pada suku pertama sehingga ketinggalan 0-3.
“Pada suku kedua kami mula lebih baik, manakala suku ketiga kami lebih baik dari segi pertahanan dan pembinaan serangan juga menunjukkan beberapa perkara positif apabila berjaya mencipta peluang dalam bulatan serta mendapatkan pukulan sudut penalti,” katanya.
Justeru, aksi menentang Perancis hari ini menjadi peluang terbaik buat Speedy Tigers mengubah rentak kempen selepas kegagalan mengekang Jerman, apatah lagi Carolan percaya pengalaman berdepan pasukan elit mampu membantu anak buahnya berkembang.
“Semakin banyak kita bermain dengan pasukan besar seperti ini, kini akan menjadi semakin baik,” kata Carolan.
Perancis kini menjadi sasaran seterusnya sebelum Malaysia menutup aksi Kumpulan B menentang tuan rumah Belgium, dengan Speedy Tigers perlu bangkit segera bagi memastikan kekalahan kepada Jerman tidak terus menghantui perjalanan mereka di pentas dunia.
Untuk rekod, pencapaian terbaik skuad hoki negara adalah meraih tempat keempat pada 1975 manakala pada edisi lalu 2023 di India menyaksikan Speedy Tigers menamatkan kempen di tempat ke-13.-UTUSAN
The post Speedy Tigers perlu segera bangkit appeared first on Utusan Malaysia.






