
PETALING JAYA – Kematian seorang remaja perempuan berusia 16 tahun di sebuah dewan sekolah di kawasan Yong Peng, Johor kelmarin disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan pada 3 Oktober lalu bagi membantu siasatan.
“Permohonan reman dibenarkan oleh Majistret selama enam hari mulai 4 Oktober hingga 9 Oktober 2026 bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, bedah siasat dijalankan oleh Pakar Patologi Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat pada 4 Oktober lalu.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah ‘blunt trauma to the head’,” katanya.
Tambahnya, pihak sekolah dan Kementerian Pendidikan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM dalam siasatan kes berkenaan.
“PDRM turut memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara menyeluruh, telus dan profesional tanpa sebarang elemen cover-up atau melindungi mana-mana pihak.
“Motif dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Irene Sofiya dipercayai dibunuh, kes disiasat bawah Seksyen 302 appeared first on Kosmo Online.






