ISF raih 4 kontrak RM83 juta kerja pusat data di Port Dickson, buku tempahan naik kepada RM225 juta

LocalBusiness & Finance
3 Nov 2026 • 9:25 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

ISF raih 4 kontrak RM83 juta kerja pusat data di Port Dickson, buku tempahan naik kepada RM225 juta Image from: ISF raih 4 kontrak RM83 juta kerja pusat data di Port Dickson, buku tempahan naik kepada RM225 juta amree03/11/2026 - 09:25 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 Nov — ISF Group Berhad memperoleh empat kontrak bernilai keseluruhan RM83.23 juta bagi projek pusat data (DC) berskala besar di Port Dickson, Negeri Sembilan, sekali gus meningkatkan buku tempahan belum dibilkan kumpulan itu kepada RM225.5 juta.

 

Kontrak berkenaan merupakan nilai terbesar yang pernah diumumkan syarikat penyedia rumusan sistem perpaipan itu setakat ini, serta mencerminkan peningkatan peluang perniagaan susulan perkembangan pesat industri pusat data di Malaysia.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ISF berkata anak syarikat milik penuhnya, Yeo Plumber Sdn Bhd menerima tiga subkontrak bernilai RM73.33 juta serta satu surat penganugerahan (LOA) bernilai RM9.9 juta daripada sebuah syarikat pembinaan tempatan yang tidak dinamakan.

 

"Tiga subkontrak itu membabitkan kerja sistem air sejuk, penuaian air hujan, pengagihan air dan perkhidmatan sanitari, manakala LOA berkenaan merangkumi kerja pembetungan luaran bagi projek DC tersebut," jelas kumpulan berkenaan.

 

Kesemua projek dijadualkan siap secara berperingkat antara November 2026 hingga Julai 2028, sekali gus memberikan sumbangan kepada aliran kerja kumpulan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

 

Susulan kejayaan pemerolehan kontrak terbaharu itu, buku tempahan belum dibilkan ISF meningkat kepada RM225.5 juta, sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan kepada kumpulan sehingga tahun kewangan berakhir 31 Disember 2029 (FY29).

 

ISF_DagangNews2026

 

Pengarah Urusannya, Jeff Ai Boon Chen berkata, kontrak berkenaan merupakan pencapaian penting yang mencerminkan peningkatan keupayaan kumpulan untuk melaksanakan projek berskala lebih besar dan kompleks.

 

"Kemunculan Malaysia sebagai hab DC serantau terus membuka peluang kepada penyedia perkhidmatan infrastruktur sokongan, dengan projek pusat tersebut kini menyumbang bahagian penting kepada perniagaan kumpulan ini," kata beliau.

 

Selain memperkukuh penglibatan dalam sektor DC, ISF turut meneroka peluang untuk mengembangkan perniagaan kepada projek infrastruktur air berskala lebih besar di Malaysia, khususnya loji rawatan air dan inisiatif mengurangkan kehilangan air dalam rangkaian bekalan.

 

Pemerolehan kontrak terbaharu itu menyusuli kejayaan ISF meraih projek bernilai sekurang-kurangnya RM47 juta sepanjang tahun ini, termasuk sejumlah kontrak DC bernilai RM14.5 juta yang diperoleh pada Jun 2026.

 

ISF yang disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 28 Januari 2026 menerusi tawaran awam permulaan (IPO) pada harga 33 sen sesaham, ditutup tidak berubah pada 83.5 sen pada dagangan Isnin, sekali gus memberikan permodalan pasaran sebanyak RM835 juta. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved