liza02/11/2026 - 17:40 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 2 Nov – Federal International Holdings Berhad (FIHB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Federal Builders Industries Sdn Bhd (FBI), memperoleh kontrak bernilai RM46.96 juta daripada Perumahan Masteron Sdn Bhd (PMSB) bagi melaksanakan kerja-kerja struktur untuk projek pembangunan di PJ Selatan Sentral, Petaling Jaya, Selangor.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, FIHB berkata, kontrak itu melibatkan pelaksanaan kerja-kerja struktur bagi bahagian ruang bawah tanah, podium, fasiliti dan aras pemindahan struktur (transfer floor) di pembangunan yang terletak di PJS 5, Mukim Petaling, Daerah Petaling.
Surat anugerah kontrak berkenaan bertarikh 2 November 2026 dan diterima serta dipersetujui oleh FBI pada tarikh sama.
Menurut FIHB, kerja-kerja berkenaan dijadualkan bermula pada 16 November 2026 dengan tempoh pelaksanaan selama 13 bulan.
Projek itu dijangka siap pada 15 Disember 2027. FIHB berkata, kontrak berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027 serta sepanjang tempoh pelaksanaan kontrak.
Transaksi pihak berkaitan
Dalam pada itu, FIHB menjelaskan Perumahan Masteron merupakan syarikat yang mempunyai kepentingan secara langsung dan tidak langsung dengan beberapa pengarah serta pemegang saham utama kumpulan.
Sehubungan itu, projek berkenaan dikategorikan sebagai urus niaga pihak berkaitan berulang (RRPT) yang bersifat hasil atau perdagangan mengikut Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad.
Syarikat itu turut memaklumkan bahawa mandat pemegang saham bagi urus niaga berkenaan telah diperoleh menerusi mesyuarat agung tahunan syarikat.
Antara individu yang dianggap mempunyai kepentingan dalam projek itu ialah Dato’ Dr Choy Fook On, Datin Tan Geok Foong, Dato’ Choy Wai Hin, Datuk Choy Wai Ceong, Choy Yuin Yi, Choy Kin Mann, Choy Kin Jeune dan Dr Choy Sook Kuen.
Mereka dianggap mempunyai kepentingan berikutan jawatan sebagai pengarah dan/atau pegangan saham dalam FIHB serta hubungan sebagai pihak berkaitan dengan PMSB.
Selain individu yang dinyatakan, tiada pengarah atau pemegang saham utama FIHB yang lain, termasuk pihak yang mempunyai hubungan dengan mereka, mempunyai kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam projek berkenaan. - DagangNews.com





