
KUALA LUMPUR – Tindakan seorang pemandu yang didakwa mengambil masa lama di pam minyak selepas selesai mengisi petrol mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengguna jalan raya.
Menerusi satu perkongsian tular di TikTok, seorang pengguna berkongsi pengalaman berdepan situasi tersebut di sebuah stesen minyak.
Menurutnya, ketika itu beberapa kenderaan sedang beratur untuk mengisi minyak, namun keadaan menjadi tergendala apabila sebuah Toyota Innova didakwa masih berada di pam walaupun urusan mengisi petrol telah selesai.
Katanya, pemandu dan penumpang kenderaan berkenaan dilihat membersihkan bahagian but kereta ketika masih berada di ruang pam minyak.
@missdiejaaa__ Laki aku baru nak pegi sound nasib dia gerak. Mana pergi common sense eh ?
♬ original sound – Missdiejaaa – Missdiejaaa
“Belakang dah jem. Kita tunggu dia keluar, tapi dia boleh lepak lama dekat situ,” katanya.
Situasi itu bukan sahaja menyebabkan kelewatan kepada pengguna lain, malah mengakibatkan kesesakan di kawasan stesen minyak berkenaan.
Tambahnya, pemandu tersebut akhirnya beredar sebelum sempat ditegur oleh suaminya.
“Tolonglah, nak balik beraya ni. Kena ada common sense, orang lain pun beratur nak isi minyak,” ujarnya.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen turut meluahkan rasa kurang senang terhadap sikap segelintir pengguna yang mengambil masa lama di pam minyak.
“Paling menyampah dah isi minyak, dia pergi masuk kedai shopping. Kadang tu bayar minyak sekali sambil membeli. Kereta kalau dekat luar tak banyak tak apa. Ni orang dah beratur panjang dah,” kata seorang pengguna TikTok.
Dalam masa sama, segelintir pengguna mengakui mereka sendiri berasa serba salah jika mengambil masa terlalu lama ketika orang lain sedang menunggu giliran.
Orang ramai berharap pengguna stesen minyak lebih peka dan bertimbang rasa, terutama menjelang musim perayaan apabila jumlah kenderaan di jalan raya semakin meningkat. -MYBERITA



