liza05/10/2026 - 13:02 KUALA LUMPUR 5 Okt – Iskandar Malaysia Studios (IMS) telah menyumbang lebih RM1.3 bilion kepada ekonomi Johor sejak mula beroperasi pada 2014 menerusi pelbagai projek penerbitan filem, siri televisyen dan produksi antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif IMS, Rashid Karim berkata sumbangan itu merangkumi perbelanjaan produksi secara langsung termasuk bayaran kepada kru tempatan, pembinaan set penggambaran, perkhidmatan sokongan produksi, penginapan, katering, pengangkutan dan sewaan peralatan.
“IMS terus berkembang sebagai kemudahan produksi bersepadu terbesar di Asia Tenggara. Sejak 2014, kami telah menerima lebih 120 projek yang merangkumi filem, siri televisyen dan produksi antarabangsa.
“Nilai produksi terkumpul pada 2026 dianggarkan mencecah RM100 juta dan sumbangan ekonomi ini terus meningkat setiap tahun apabila lebih banyak produksi memilih Johor sebagai lokasi penggambaran,” katanya.
IMS perkasa penggunaan AI dan teknologi produksi maya
Mengulas mengenai rancangan pembangunan, Rashid berkata IMS akan memperkukuh penggunaan kecerdasan buatan (AI), produksi maya (virtual production) dan teknologi paparan diod pemancar cahaya (LED) bagi meningkatkan keupayaan kemudahan itu menarik lebih banyak produksi antarabangsa.
Katanya, peralihan kepada teknologi berkenaan turut dilaksanakan menerusi kerjasama IMS dengan OMG Studios, yang membolehkan produksi menghasilkan latar belakang secara maya dalam masa nyata.
Menurutnya, teknologi itu dapat mengurangkan kos perjalanan, tempoh penggambaran serta keperluan menggunakan lokasi fizikal.
Beliau berkata penggunaan teknologi produksi maya di IMS turut menunjukkan peningkatan dengan lebih lapan projek menggunakan teknologi itu setakat tahun ini, berbanding lebih enam projek pada 2025 dan kurang lima projek pada 2024.
Sasaran nilai produksi sekurang-kurangnya RM150 juta setahun
Dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, Rashid berkata IMS menyasarkan nilai produksi meningkat kepada sekurang-kurangnya RM150 juta setahun.
Katanya, sasaran itu akan didorong oleh kesinambungan Insentif Filem di Malaysia (FIMI), pembangunan set penggambaran baharu serta penggunaan teknologi terkini.
Beliau berkata sekitar 60% daripada projek di IMS pada 2026 terdiri daripada produksi luar negara, khususnya dari Amerika Syarikat, Singapura dan China.
Menurutnya, kos produksi yang kompetitif, insentif FIMI, kemudahan bertaraf antarabangsa serta kedudukan Johor yang berhampiran dengan Singapura antara faktor utama yang mendorong produksi memilih negeri itu.
“Johor mempunyai kelebihan kerana kedudukannya yang berhampiran dengan Singapura dan disokong oleh Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), yang menawarkan akses kepada tenaga kerja dan pasaran serantau pada kos operasi yang lebih kompetitif.
“Gabungan kemudahan IMS dan tenaga kerja tempatan yang berpengalaman meletakkan Johor pada kedudukan yang berpotensi untuk berkembang sebagai hab produksi serantau,” katanya. – BERNAMA






