Ismail dakwa dipaksa tandatangan Surat Cara Proklamasi

LocalPolitics
9 Sep 2026 • 1:50 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Ismail dakwa dipaksa tandatangan Surat Cara Proklamasi

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim mendakwa telah dipaksa untuk menandatangani dokumen Surat Cara Proklamasi bagi menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Ismail berkata, sehubungan itu laporan polis berhubung perkara itu turut dibuat kira-kira pukul 6 petang semalam bagi membolehkan siasatan dijalankan pihak berkuasa.

“Merujuk kepada isu dokumen Surat Cara Proklamasi yang tular dalam kenyataan media pada malam 8 September 2026, saya ingin menjelaskan bahawa Surat Cara tersebut telah saya tandatangani tanpa rela hati dan secara paksaan (duress).

“Saya telah membuat laporan polis pada sekitar jam 6 petang pada 8 September 2026 bagi membolehkan siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kerajaan Negeri Sembilan berpendirian bahawa Surat Cara berkenaan tidak memenuhi proses dan tatacara yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

“Ia adalah tidak sah, tidak berperlembagaan dan tidak boleh dikuatkuasakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan yang diadakan semalam antara lain membincangkan penubuhan jawatankuasa pendamai bagi mencari penyelesaian isu adat secara harmoni, berhemah dan berlandaskan semangat muafakat.

Katanya, kerajaan negeri turut merujuk kepada Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Persekutuan menjamin hak dan kedudukan Raja di sisi Perlembagaan.

“Persekutuan perlu mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kemuliaan dan kedudukan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan terus terpelihara,” katanya.

Ismail turut menegaskan sokongan penuh serta taat setia tidak berbelah bahagi kepada Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan berdaulat.

Terdahulu, media melaporkan Pembesar Memerintah Negeri Sembilan, Undang Yang Empat mendedahkan surat yang ditandatangani Ismail bagi mengesahkan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz pada 3 Ogos lalu.

Pendedahan itu dibuat pada sidang akhbar semalam yang dihadiri Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah dan Undang Luak Rembau, Abdul Rahim Yasin.-UTUSAN.

The post Ismail dakwa dipaksa tandatangan Surat Cara Proklamasi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved